Takiyuddin boleh panggil Mesyuarat MT PN

SEPANG 11 Jan. – Dalam ketiadaaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) selepas peletakan jawatan Mohamed Azmin Ali dari Bersatu, tanggungjawab memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) kini menjadi tanggungjawab Pas.

Ini kerana jawatan Penolong Setiausaha PN disandang oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Semalam Timbalan Pengerusi PN Abdul Hadi Awang mengutus surat kepada ketua-ketua parti komponen PN, memaklumkan secara rasmi mengenai peletakan jawatan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas memaklumkan keperluan memanggil mesyuarat tergempar MT PN dalam masa terdekat bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin dan memilih serta melantik Pengerusi PN yang baharu.

Selepas sepuluh hari,  Abdul Hadi tampil menggesa PN mengadakan mesyuarat tergempar MT selaras Fasal 8.3(l)(b) perlembagaan gabungan itu.

Abdul Hadi berkata, gesaan supaya MT PN segera bermesyuarat itu dibuat demi kelangsungan gabungan itu, selain melantik Pengerusi baharu, menggantikan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh.

“Saya sebagai Presiden Pas sudah menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi, bertarikh 30 Disember 2025 yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

“Di pihak Pas, kami menghormati dan menerima keputusan diambil Muhyiddin serta merakamkan penghargaan atas segala khidmat dan jasa bakti dicurahkan sepanjang menerajui PN, sebelum ini.

Diharapkan perkara ini diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan terbabit sudah melebihi 10 hari,” kata Ahli Parlimen Marang itu.

Muhyiddin melepaskan jawatannya selepas lima tahun menerajui kepemimpinan PN, sejak gabungan itu didaftarkan secara rasmi, pada 7 Ogos 2020. Kuala Lumpur:
Turut meletak jawatan adalah Mohamed Azmin.

Selain Bersatu, parti utama yang berada dalam gabungan PN adalah Pas dan Gerakan.

Berikutan peletakan jawatan itu, timbul pelbagai spekulasi calon akan menerajui PN dengan antara nama disebut ialah Abdul Hadi dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.

Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada Pas termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan Pengerusi PN diberi kepada Pas.

Related posts

Leave a Comment