DAPSY gesa Akmal tinggalkan kerajaan, sertai Pas

SEPANG 4 Jan. – Kelantangan Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyarakan UMNO meninggalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan mendapat kecaman Pemuda Sosialis DAP Kebangssan (DAPSY) yang menggesa Ketua Pemuda UMNO itu menyertai Pas.

Sayap parti DAP itu juga menggesa Akmal menunjukkan teladan dengan meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka seterusnya menjadi perintis untuk menyertai Pas bukannya sekadar berbicara panjang dan meraih simpati.

DAPSY dalam kenyataannya hari ini juga mendakwa hubungan rapat antara Akmal dengan Pas sebenarnya bukan rahsia.

“Malah Akmal tidak pernah berasa malu dengan dakwaan bahawa dia bertindak seperti ejen PN. Yang peliknya para pemimpin utama dalam partinya tidak pernah menyokong atau mengesahkan pendiriannya.

Semua yang celik politik akan sedar slogan Akmal sekadar lakonan politik dan tidak akan mendapat sambutan, namun Akmal boleh menjadi teladan dengan meletakkan jawatan terlebih dahulu, sekiranya tidak, ini umpama cakap tidak serupa bikin.

Yang hairannya, Akmal sendiri tidak berani untuk melepaskan kuasa dan jawatan tetapi asyik mendesak pemimpin parti sendiri keluar daripada kerajaan,” kata DAPSY.

DAPSY turut mempersoalkan adakah Akmal sedang menuduh seluruh kerajaan, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Menteri Besar daripada UMNO gagal mempertahankan kepentingan Melayu apabila mahu bersama Pas untuk mempertahankan hak orang Melayu.

“Jawapannya adalah terang lagi bersuluh. Oleh itu, tuduhan Akmal yang tidak berasas ini adalah cukup teruk dan pimpinan UMNO wajib tampil untuk menyangkal tuduhan tersebut,” tegas DAPSY.

Akmal juga menurut DAPSY patut menerangkan apakah keperluan sebenar masyarakat Melayu daripada sibuk melaungkan slogan “perpaduan Melayu”.

Menurut DAPSY, kerajaan pintu belakang pimpinan Muhyiddin Yassin juga pernah melaungkan slogan perpaduan Melayu, namun pentadbirannya terbukti gagal sehingga rakyat terpaksa mengangkat bendera putih.

Kestabilan politik hanya dicapai selepas bekas Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Pakatan Harapan serta melaksanakan Akta Anti-Lompat Parti.

“Hakikatnya, masyarakat berbilang kaum tidak memerlukan retorik kosong, lakonan politik berlebihan atau politik perpecahan berdasarkan kaum, tetapi memerlukan dasar kerajaan yang berkesan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat,” kata DAPSY.

Sambil menyifatkan Akmal ‘Ketua Pemuda Terpaling Perikatan Nasional (PN)’ DAPSY menarik perhatian bahawa UMNO sendiri pernah menjadi mangsa apabila Pas dan Bersatu muncul sebagai pesaing terbesar dan merampas kebanyakan kerusi UMNO.

“Yang lawaknya,  PN yang paling lantang melaungkan perpaduan Melayu kini dilihat semakin berpecah-belah dan malangnya, parti-parti tersebut yang sibuk berpecah dan gagal mentadbir negeri sendiri dengan baik disarankan sebagai rakan strategik oleh Ketua Pemuda bergelar doktor,” kata DAPSY.

NNN

Related posts

Leave a Comment