Laluan warga emas, OKU di Masjidilharam

MAKKAH – Pihak Berkuasa Am Penjagaan Hal Ehwal Masjidilharam dan Masjid Nabawi memperuntukkan laluan khusus bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di dalam Masjidilharam.

Laluan itu bertujuan memudahkan pelaksanaan ibadah serta menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa bagi meningkatkan rasa tenang dan khusyuk,

sebagai sebahagian daripada usaha berterusan agensi itu untuk menambah baik kualiti perkhidmatan kepada jemaah.

Menurut pihak berkenaan, laluan-laluan itu disusun dengan teliti di lokasi strategik bagi memudahkan pergerakan serta mengurangkan kesulitan yang mungkin dihadapi kumpulan terbabit ketika masuk, keluar, atau bergerak di antara aras yang berbeza di Masjidilharam terutamanya pada waktu puncak.

Peruntukan laluan itu adalah sebahagian daripada sistem perkhidmatan bersepadu yang dirangka untuk memenuhi keperluan warga emas dan golongan OKU serta memastikan akses lancar ke pelbagai kemudahan.

Langkah ini mencerminkan kesungguhan kepemimpinan Arab Saudi dalam menyantuni tetamu Masjidilharam mengikut piawaian tertinggi kemanusiaan dan perkhidmatan .

Justeru semua pelawat dan jemaah umrah diminta merujuk panduan pandu arah di Masjidilharam yang menunjukkan lokasi laluan, lif, dan perkhidmatan sokongan.

Related posts

Leave a Comment