MAKKAH – Bagi memastikan operasi pengangkutan yang cekap, Suruhanjaya Diraja bagi Makkah dan Tanah Suci menetapkan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi penyedia perkhidmatan pengangkutan haji pada musim akan datang.
Penyedia perkhidmatan pengangkutan haji berisiko didenda sehingga SR100,000 (RM108,697) jika disabitkan kesalahan melanggar peraturan kawal selia perkhidmatan itu bagi musim haji akan datang.
Pesalah juga berdepan hukuman digugurkan daripada menyertai operasi haji bagi sekurang-kurangnya satu musim dan tidak melebihi tiga musim serta pembatalan lesen operasi perkhidmatan haji secara kekal, bergantung tahap keseriusan pelanggaran.
Ia terkandung dalam draf peraturan mengawal selia aktiviti pengangkutan haji.
Peraturan berkenaan menetapkan penyedia perkhidmatan tidak dibenarkan mengendalikan perkhidmatan pengangkutan haji dalam kawasan geografi yang ditetapkan tanpa memperoleh permit dikeluarkan oleh pusat panduan pengangkutan jemaah.
Penyedia perkhidmatan perlu mengemukakan permohonan menyertai operasi pengangkutan haji termasuk bilangan bas dan keperluan yang ditetapkan oleh pusat berkenaan bagi membuktikan kesiapsiagaan.
Permohonan secara elektronik dibuka mulai 1 Jamadilakhir setiap tahun dan kekal dibuka selama 60 hari.
Penyedia perkhidmatan juga diwajibkan mengemukakan semua data dan dokumen yang diperlukan bagi penyertaan dalam pengangkutan haji kepada pusat berkenaan selewat-lewatnya 15 Syawal setiap tahun.
Sekiranya perlu pusat panduan pengangkutan jemaah haji boleh melanjutkan tempoh itu sehingga akhir Syawal.
Peraturan itu turut menetapkan penyedia perkhidmatan wajib menyediakan pengangkutan alternatif dengan segera sekiranya kenderaan yang digunakan mengalami kerosakan ketika operasi, dalam tempoh tidak melebihi satu jam di dalam bandar dan kawasan sekitarnya serta dua jam di luar bandar.
Jika gagal berbuat demikian, pihak berkuasa berkaitan akan menyediakan pengangkutan alternatif yang memenuhi terma dan spesifikasi yang diluluskan oleh pusat panduan pengangkutan jemaah haji dan kos berkaitan akan ditanggung oleh penyedia perkhidmatan.
Selain itu, penyedia perkhidmatan diwajibkan menyediakan bilangan juruteknik bertauliah yang mencukupi bagi menyelenggara bas supaya dapat memastikan operasi yang cekap sepanjang musim pengangkutan haji, selaras dengan keperluan yang ditetapkan oleh pusat berkenaan.
