PUTRAJAYA – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag akan diadakan pada 24 Januari depan dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 10 Januari dan pengundian awal pada 20 Januari 2026.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun, berkata tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam, 23 Januari ini.
“Sehubungan itu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pelaksanaan PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang memerlukan peruntukan sebanyak RM10 juta diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Menurut Ramlan, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK itu membabitkan daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih Oktober 2025 yang dikemas kini hingga 5 Disember lalu.
Berdasarkan DPPR berkenaan, seramai 48,722 pemilih terdiri daripada 48,526 pengundi biasa dan 196 anggota polis serta pasangan.
“Seramai 1,106 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini, manakala 36 pusat mengundi biasa mengandungi 117 saluran dan satu pusat mengundi awal bakal digunakan.
“Bagi maksud PRK ini, Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi yang digunakan adalah di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan,” katanya.
Beliau berkata, SPR turut melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan dibantu lapan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan proses PRK itu.
“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya, SPR akan menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang dianggotai wakil daripada polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil calon bertanding,” katanya.
Ramlan berkata, pada PRK ini, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya.
Katanya, mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan undi rasmi.
Bung Moktar, 66, menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles.
Allahyarham dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, pada 199, jawatan yang disandangnya selama lebih dua dekad.
Pada tahun 2020, beliau turut memenangi kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) dan pada pilihan raya 29 November lalu, Bung Moktar mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Nnnn
