PUTRAJAYA 1 Dis. – Parti Impian Sabah (PIS) yang pertama kali mencuba nasib dalam pilihan raya menerima kekalahan dengan hati terbuka apabila kesemua 72 calonnya bukan sahaja tewas tetapi hilang wang pertaruhan.
Presiden PIS, Michel Alok @ Ilok bagaimanapun menganggap kekalahan ini sebagai ‘yuran pengajian’ yang mahal dalam ‘Sekolah Demokrasi’.
Beliau yang tewas di kawasan Dewan Undangan (DUN) Telupid dan hilang wang pertaruhan berkata di sebalik kekalahan itu, PIS mencapai kemenangan moral dan maruah dengan membuktikan politik integriti masih wujud.
“Kami bertanding tanpa politik wang, memilih jalan bersih, menolak rasuah, hanya menawarkan idealisme serta perkhidmatan. Kita memenangi maruah dan kepercayaan terhadap perjuangan yang jujur.
“Inilah kemenangan moral kita yang paling besar,” katanya dalam perutusan Presiden selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 pada 29 November lalu.
Menurut Michel, melalui pilihan raya itu mereka telah mendapat pendedahan yang tak ternilai, mengenal erti penat lelah jentera di lapangan dan mula memahami denyut nadi takyat.
“Selepas ini, kita tidak lagi akan bertatih tetapi berlari, bergerak maju ke hadapan kerana kita yakin dan percaya bahawa kekalahan semalam adalah kemenangan yang tertangguh,” katanya.
Beliau berkata, kekalahan hari ini adalah penamat satu babak tetapi esok adalah permulaan babak baharu, seperti kata pepatah kejayaan bukanlah muktamad, kegagalan bukanlah fatal, yang penting keberanian untuk meneruskan perjuanagn.
“Kami akan bangkit dan kami akan mengkaji semula, kami akan datang semula , lebih kuat lebih bijak dan lebih bersedia” katanya.
Mnnn
