Pas lakar sejarah menang di Sabah

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Buat pertama kali, Pas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah apabila calonnya Pesuruhjaya Pas negeri, Dr Aliakhbar Gulasan menang atas tiket Perikatan Nasional (PN) di Karambunai.

DUN Karambunai yang menyaksikan pertandingan 11 penjuru mempunyai 39,247 pengundi berdaftar dan sebelum ini dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Yakub Khan yang turut bertanding kali ini.

Dalam hantaran pada akaun Facebook miliknya, Aliakbar berterima kasih dan merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi DUN Karambunai.

“Terima kasih kerana memberikan undi kepada saya. Undi anda adalah bukti kepercayaan, pengorbanan masa dan rantai harapan anda kepada saya. Dengan rasa rendah hati, saya dan pasukan akan melakukan sedaya upaya kami dalam membina Karambunai yang lebih baik,” katanya.

Pada pilihan raya 2020, Yakub menang dengan majoriti 16 undi dalam pertandingan enam penjuru yang melibatkan parti Warisan, PCS, USNO, Gagasan dan LDP.

Kali ini Yakub gagal mempertahankan kerusi itu selepas berdepan calon-calon yang mewakili PN, Parti Bumi Kenyalang, PKS, GAS, GRS, SPP, StarSabah, Warisan, Perpaduan, dan Parti Impian Sabah

Selain Aliakbar dan Yakub, DUN Karambunai turut ditandingi Mohd Yunus Ibrahim (PBK); Matkri Kassim (PKS); Azman Fathil (GAS); Datuk Arshad Idris (GRS); Ajis @ Hates Abdul (SPP); Datuk Stephen Teo (STAR); Ahmad Jais Otong (Warisan); Raynold Saikam Salinggou (PERPADUAN) dan Adis Jalie (PIS).

Aliakbar, 54, memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Geografi Bandar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau yang juga ADUN Lantikan bagi penggal 2020–2025, pernah memegang jawatan Pengerusi Kumpulan Medic Iman (KMI) Tawau Medical Centre (2025) serta Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sejak 2023.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama 24 tahun (1996–2020) dan memegang jawatan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) dari 2020 hingga 2021.

Sementara itu Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fahdli Shaari, dalam hantaran Facebook memaklumkan, Pas malam ini menempa sejarah dengan kelahiran ‘anak sulung’ partinya dalam DUN Sabah apabila Aliakbar menang kerusi Karambunai.

“Alhamdulillah, Pas melahirkan ‘anak sulung’ di Sabah. Karambunai dimenangi dengan majoriti 371,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment