Dana Arab, Islam biaya projek

RAMALLAH –  Lebih 210 projek pembangunan di Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur, Gaza serta kem pelarian Palestin di Lubnan dibiayai dana Arab dan Islam dengan jumlah keseluruhan bernilai AS$72 juta,

Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa mengumumkan demikian pada majlis menandatangani perjanjian pelaksanaan projek berkenaan yang disaksikan beliau di pejabatnya di sini.

Projek-projek itu merangkumi sektor yang paling memerlukan termasuk pendidikan, tadbir urus tempatan, latihan vokasional, kesihatan, pemerkasaan ekonomi, pembangunan komuniti dan kawasan luar bandar.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Dana Al-Aqsa yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Islam menyediakan AS$32.7 juta, manakala Dana Arab bagi Pembangunan Ekonomi dan Sosial menyumbang AS$38.5 juta.

Projek berkenaan “merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program nasional untuk pembangunan dan pemodenan yang dilaksanakan melalui 10 inisiatif penting merentasi sektor utama.”

Mustafa pada Khamis lalu menegaskan krisis itu berpunca secara langsung daripada tindakan Israel menyekat hasil cukai Palestin.

Kenyataan itu turut menggesa negara penderma dan rakan antarabangsa untuk menekan Israel agar melepaskan dana yang ditahan serta menyediakan sokongan bajet segera selama tempoh enam bulan.

Sejak 2019, Israel telah membuat potongan ke atas hasil cukai berkenaan atas pelbagai alasan dan dilaporkan menghentikan sepenuhnya pemindahan dana itu selama kira-kira enam bulan, menyebabkan jumlah tertunggak mencecah hampir US$4 bilion dan menjerumuskan Pihak Berkuasa Palestin ke dalam krisis kewangan.

Penasihat Perdana Menteri bagi Dana Arab dan Islam, Nasser Qatami berkata peranan tabung-tabung itu tidak terbatas kepada pembiayaan semata-mata, sebaliknya menjadi rakan strategik dalam memperkukuh ketahanan rakyat Palestin.

Beliau menyatakan bahawa sepanjang 23 tahun lalu, dana terbabit telah menyokong ribuan projek pembangunan di Tebing Barat serta di kem pelarian Palestin di Lubnan.

Terdapat lebih 493,000 pelarian Palestin di Lubnan yang berdepan hidup sukar di kem-kem yang ditadbir oleh puak Palestin berdasarkan pengaturan tidak rasmi sejak Perjanjian Kaherah 1969.

Related posts

Leave a Comment