Perjanjian ancaman terhadap demokrasi

SEPANG 17 Dis. – Perjanjian persefahaman yang memaksa ahli Parlimen undi Usul Kepercayaan untuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atau Kerajaan PH-BN adalah haram, tidak berperlembagaan dan akan membawa kepada pemerintahan diktator.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin berkata, tindakan itu ancaman paling berbahaya terhadap demokrasi Malaysia sejak kebelakangan ini, dan semua ahli Parlimen akan membuat pendirian yang berani terhadap despotisme baru ini.

Menurut beliau klausa 4 perjanjian itu menyatakan semua ahli Parlimen (kerajaan) wajib menyokong Perdana Menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan.

Klausa 4(b) pula, sekiranya mana-mana ahli Parlimen kerajaan yang gagal mengundi sebagaimana yang telah diarah, mereka akan dianggap mengosongkan kerusi Parlimen mereka berdasarkan Artikel 49A Perlembagaan Persekutuan.

Naib Ketua Srikandi Bersatu Malaysia itu berkata, pihaknya sentiasa akan menyokong sebarang ikhtiar untuk memastikan wujud kerajaan yang stabil, tetapi tidak dengan cara membelakangi perlembagaan dan undang-undang.

“Perjanjian ini adalah haram, tidak berpelembagaan, merbahaya dan tidak boleh diperkuatkuasakan. Artikel 49A tidak boleh menyebabkan mana-mana kerusi dikosongkan atas alasan cara ahli Parlimen mengundi.

“Tidak ada apa-apa perkara seperti itu di dalam Artikel 49A. Ianya hanya menrangkumi situasi di mana seseorang ahli Parlimen tersebut meletakkan jawatan atau berhenti menjadi ahli partinya,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa pilihan khas menimbang rang undang-undang perlembagaan mengenai peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar Parti  menyatakan  pada 18 Julai 2022 bahawa mana-mana ahli Parlimen yang tidak mengundi mengikut arahan parti tidak akan hilang kerusinya di bawah Artikel 49A.

“Ini boleh didapati di dalam perenggan 21.4 Laporan jawatankuasa pilihan tersebut,” kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melalui Facebooknya.

Beliau berkata, tidak mungkin Anwar dan pimpinan UMNO tidak tahu berkenaan laporan jawatankuasa bipartisan ini.

“Jelas, mereka secara tidak jujur memilih untuk mengendahkannya dalam satu tindakan terdesak untuk menakutkan dan mengugut ahli Parlimen mereka sendiri untuk menurut kehendak parti, walaupun ianya membawa kepada kemudaratan terhadap demokrasi berparlimen,” katanya.

Menurut beliau lagi, Anwar dan parti -parti kerajaan tidak boleh bergantung kepada Artikel 49A untuk mengugut ahli Parlimen mengundi bagi menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri pada 19 Disember atau selepas itu dalam mana-mana rang undang-undang atau perkara yang berkaitan dengan kepercayaan.

Katanya Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan mutlak kepada mana-mana ahli Parlimen yang telah dipilih untuk mengundi sebagaimana beliau rasa betul demi kepentingan pengundi beliau.

Ini juga jelas dari keputusan dalam kes Mahkamah Agung Datuk Ong Kee Hui v Sinyium Anak Mutit (1983) 1MLJ 36.

“Despotisme jenis baru ini tidak pernah disaksikan sebelum ini di dalam sejarah politik atau Parlimen Malaysia.

Pemaksaan ahli Parlimen untuk mengundi menurut arahan  adalah sama seperti dalam sistem di Korea Utara, atau Negara China dan tiada tempat dalam sistem demokratik Malaysia.

Perjanjian itu menurut beliau akan disemadikan  selamanya sebagai titik hitam di dalam sejarah negara dan tindakan subversif  terhadap demokrasi berparlimen serta struktur asas perlembagaan.

“Kami menyeru semua ahli Dewan Rakyat dari parti kerajaan untuk tidak rasa takut dalam menjalankan tanggungjawab mereka semata-mata kerana kewujudan perjanjian haram ini.

Menurut Artikel 49A, kamu tidak akan hilang kerusi semata-mata kerana mengundi berdasarkan pertimbangan sendiri.

Kami menyeru juga kesemua ahli Parlimen untuk mengundi menurut apa yang benar dan baik untuk negara ini dan rakyat serta berdasarkan nurani (conscience),” katanya.

Related posts

Leave a Comment