KOTA KINABALU 22 Nov. – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 memperkenalkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang menawarkan enam teras utama bagi memacu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
RPS1 dirangka secara komprehensif merangkumi aspek Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup, Wanita dan Orang Muda sebagai Tonggak Negara, serta Pendidikan Berkualiti Untuk Semua.
Bendahari UMNO Sabah, Dr Salleh Said Keruak, ketika membentangkan manifesto itu berkata RPS1 turut menekankan agenda Transformasi Politik dan Tadbir Urus, Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan serta Kelestarian Sumber Alam.
“RPS1 ini disusun rapi dan diperhalusi setelah mengambil kira keperluan seluruh rakyat Sabah. Politik bukan matlamat, tetapi adalah wadah untuk membangunkan Sabah,” kata calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan itu.
Beliau memberitahu RPS1 turut menekankan agenda Transformasi Politik dan Tadbir Urus, Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan serta Kelestarian Sumber Alam.
“RPS1 ini disusun rapi dan diperhalusi setelah mengambil kira keperluan seluruh rakyat Sabah. Politik bukan matlamat, tetapi adalah wadah untuk membangunkan Sabah,” katanya.
Turut hadir pada pelancaran yang diadakan di Bangunan UMNO Sabah di sini ialah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin; Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Wanita BN, Dr Noraini Ahmad dan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Salleh berkata melalui teras Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan, BN berhasrat menubuhkan Dana Kemakmuran Negeri Sabah sebagai simpanan dan pelaburan jangka panjang untuk manfaat rakyat serta generasi akan datang.
Di bawah teras itu, Salleh berkata BN juga menyasarkan pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik setahun iaitu Rumah Sabahku, khusus untuk golongan B40 dan M40, selain mewujudkan Dana Khas Baik Pulih Rumah bagi membantu mangsa bencana alam dalam kalangan golongan B40.
BN turut berjanji untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu bagi meningkatkan kapasiti sedia ada, di samping membuka Pelabuhan Baharu Kudat dengan mewujudkan kawasan Zon Perdagangan Bebas untuk memperkukuhkan Sabah sebagai Hab Ekonomi Serantau.
Beliau berkata BN turut merancang menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sabah, yang diterajui Menteri Wanita bagi menjaga hal ehwal pembangunan dan kebajikan wanita, kanak-kanak serta masyarakat.
Menurut bekas Ketua Menteri Sabah itu,, BN juga mahu mewujudkan Koperasi Usahawan Anak Muda di setiap daerah bagi membuka peluang ekonomi melalui Program Mentorship syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah.
Di bawah teras Pendidikan Berkualiti Untuk Semua, BN bertekad menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar Sabah daripada golongan B40 di Institut Pengajian Tinggi (IPT) milik kerajaan negeri.
BN juga berhasrat memberikan insentif one-off sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 kepada anak-anak Sabah yang melanjutkan pendidikan ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di IPT awam dan IPT swasta.
Di samping itu, BN juga bercadang menubuhkan Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri di bawah teras Tranformasi Politik dan Tadbir Urus, bagi memantau dan mengawasi pelaksanaan terma Perjanjian Malaysia (1963) termasuk berkaitan hak-hak Autonomi Negeri Sabah.
Menerusi teras Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan, Salleh berkata ia antaranya menawarkan penubuhan Perkampungan Prihatin Komuniti iaitu Sanggar Kasih khusus untuk warga emas serta Dana Sukarelawan Kesejahteraan Luar Bandar kepada sukarelawan yang memberi khidmat pemeriksaan kesihatan serta kebajikan kepada penduduk luar bandar.
Di bawah teras Kelestarian Sumber Alam, BN bercadang menubuhkan Majlis Petroleum Sabah bagi memelihara kepentingan negeri dalam industri minyak dan gas serta melaksanakan dasar mewajibkan pengambilan minimum 50 peratus pekerja anak Sabah yang berkemahiran tinggi.
Nnnn
