PUTATAN 22 Nov. – Perikatan Nasional (PN) melancarkan manifesto Kasi Bagus Sabah dengan 12 tunjang utama pembangunan negeri yang menawarkan 159 tawaran, sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin melancarkan manifesto dengan menampilkan PN sebagai gabungan yang mahu merombak tadbir urus negeri, mempertahankan kekayaan Sabah dan mengetatkan pengawasan terhadap sumber aslinya.
Tunjang utama manifesto Kasi Bagus Hak Sabah berkaitan memperjuangkan hak Sabah seperti apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bagi memastikan kekayaan daripada hasil sumber asli negeri dinikmati generasi masa depan, PN akan menubuhkan Dana Masa Depan Sabah berjumlah RM10 bilion, yang akan menjamin pulangan jangka panjang daripada sumber negeri.
“Kita mahu pastikan kekayaan Sabah dikongsi hari ini dan dilindungi untuk generasi akan datang,” kata Muhyiddin kepada penyokong semasa pelancaran manifesto PN yang dihadiri kira-kira 1,000 orang di Putatan
Hadir sama Ketua Bersatu Sabah Ronald Kiandee dan Pesuruhjaya Pas Sabah Aliakbar Gulasan antara yang hadir.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata Tunjang 1 adalah janji PN untuk menegakkan tuntutan 40 peratus hasil persekutuan untuk Sabah, dengan menyifatkannya sebagai hak perlembagaan yang “mesti ditunaikan, bukan diabaikan”.
Tunjang kedua berkaitan Tadbir Urus Sabah; ke-3 Infrastruktur Sabah; ke-4 Ekonomi; ke-5 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS); ke-6 Kesejahteraan Rakyat; ke-7 Anak Muda; ke-8 Wanita; ke-9 Pendidikan; ke-10 Warga emas; ke-11 Kelestarian Sabah dan ke-12 Keselamatan.
Menurut Muhyiddin, PN menawarkan pelan pembersihan menyeluruh sektor perlombongan Sabah, selepas berbulan-bulan ia dibayangi dakwaan skandal lesen cari gali.
Katanya, rakyat Sabah “belum menikmati sepenuhnya manfaat daripada simpanan mineral yang kaya”, sambil merujuk video tular yang didakwa menunjukkan rasuah membabitkan beberapa pemimpin Sabah yang menimbulkan kebimbangan tentang cara sektor itu diurus.
Justeru PN mencadangkan penubuhan kementerian baharu khusus untuk mineral, satu kertas putih untuk mendedahkan keputusan-keputusan lampau, dan penyusunan semula agensi yang terlibat dalam pengurusan mineral.
Muhyiddin berkata matlamatnya ialah satu sistem yang “telus, cekap dan bertanggungjawab”.
Manifesto itu juga menjanjikan tetapan semula (reset) infrastruktur bernilai RM3 bilion untuk menyelesaikan isu bekalan air, keadaan jalan raya yang teruk dan ketidakstabilan elektrik, selain pelan tebatan banjir berjumlah RM500 juta.
PN menyasar menjana momentum ekonomi baru dengan menggandakan kedatangan pelancong, mengukuhkan sektor pertanian dan perikanan, dan mewujudkan 80,000 pekerjaan menjelang 2030.
Dalam aspek perlindungan sosial, PN menawarkan RM4,800 setahun bagi keluarga miskin, perlindungan insurans percuma sehingga RM15,000, dan dana perumahan RM1 bilion untuk skim sewa-beli dan rumah kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah.
“Kita mahu sistem yang adil, cekap dan bersih, di mana tidak ada satu pun keluarga yang tercicir,” kata Muhyiddin.
Keselamatan kekal sebagai tonggak penting, dengan PN menuntut penyelarasan lebih ketat dengan agensi persekutuan, pemantauan yang dipertingkat, dan tindakan lebih tegas terhadap ancaman rentas sempadan.
Nnnn
