50 peratus jemaah tolak tawaran haji

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Sebanyak 50 peratus jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, tahun ini, direkodkan menolak tawaran berkenaan berpunca daripada masalah kewangan dihadapi jemaah terbabit.

Disamping itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata bahawa 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji (TH) direkodkan mempunyai simpanan kurang RM1,300.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pendeposit dengan baki simpanan kurang RM1,300 belum layak menunaikan haji kerana jumlah terbabit tidak mencukupi bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata, TH kini kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten walaupun ia ditubuhkan dengan dua matlamat, sebagai institusi penabungan dan organisasi pemudah cara perjalanan haji umat Islam ke Tanah Suci.

“Peranan TH sebagai institusi penabungan mula terkesan apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan lain yang lebih menarik seperti unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan skim persaraan swasta,” katanya dalam jawapan bertulis dipaparkan dalam laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai kos keseluruhan projek penjenamaan semula TH serta jumlah akhir peruntukan kewangan bagi projek itu yang sudah dimuktamadkan dan sumber kewangan digunakan.

Mohd Na’im menjelaskan dengan mengambil kira semua faktor itu dan berdasarkan data serta trend kajian teliti yang dilaksanakan, TH perlu mengambil langkah strategik dengan melaksanakan peremajaan jenama bagi memastikan ia kekal relevan.

“Ini terutama dalam usaha menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji, selain matlamat inisiatif itu bertujuan menyusun semula strategi untuk meningkatkan kembali paras simpanan individu pendeposit yang kini amat rendah.

“Bagi tiga tahun terkini, simpanan terkumpul hanya meningkat melalui pelaburan semula agihan keuntungan dan bukan secara organik,” katanya.

Mengenai kos penjenamaan semula TH, Mohd Na’im berkata, peruntukan bagi perkhidmatan syarikat konsortium perunding untuk inisiatif peremajaan jenama itu bernilai RM5.9 juta atau kira-kira RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun, sebagaimana diperjelaskan pada 16 Ogos lalu.

Setakat ini, beliau berkata, TH sudah membelanjakan RM1.9 juta berdasarkan kemajuan pencapaian semasa, selari tempoh dipersetujui, selain masih memperhalusi kerja lanjutan diperlukan bagi inisiatif berkenaan dan ia belum dimuktamadkan.

“Hanya peruntukan kos perunding yang dimuktamadkan dan tiada sebarang kontrak lain dimeterai, setakat ini. Peruntukan ini juga mengguna pakai bajet tahunan sedia ada bagi aktiviti pemasaran dan komunikasi TH,” katanya.

Related posts

Leave a Comment