MIC lulus usul keluar BN, sertai PN atau PH

SHAH ALAM 16 Nov. – Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC sebulat suara bersetuju meluluskan usul untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, perwakilan bersetuju keputusan muktamad berhubung perkara itu ditangguhkan sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) akan datang, bagi memberi ruang kepada kepemimpinan tertinggi parti membuat pertimbangan menyeluruh.

Presiden MIC, SA Vigneswaran pada sidang media bagaimanapun menegaskan CWC akan memutuskan sama ada MIC akan memilih PN atau mana-mana gabungan lain termasuk Pakatan Harapan (PH).

Menurut Vigneswaran, dua usul dikemukakan pada AGM hari ini, iaitu, cadangan untuk keluar dari BN dan menyertai PN dan kedua, memberi mandat penuh kepada CWC serta presiden untuk membuat keputusan arah tuju politik parti.

“Bukan soal keluar atau tidak… itu memang sudah jelas. Persoalannya adalah siapa dan bila. Kami berterima kasih kepada para perwakilan kerana memberi peluang kepada kami untuk membuat keputusan.

“Dalam setiap langkah menyertai gabungan baharu, banyak pertimbangan perlu diambil kira, sama ada gabungan itu benar-benar mempunyai aspirasi setiap kaum, adakah akan berlaku pindaan Perlembagaan dan banyak lagi perkara yang memerlukan jawapan,” katanya selepas AGM, yang dihadiri 1,808 perwakilan.

Vigneswaran menegaskan, keputusan penting seperti itu memerlukan penelitian yang lebih mendalam, justeru masa tambahan diperlukan bagi membolehkan CWC menilai semua aspek sebelum memilih gabungan politik baharu.

Dalam pada itu, beliau berkata MIC tetap teguh menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang penggal ini.

“Kami bukan bermain politik. Kami cuma sudah letih (dengan kedudukan kami dalam BN). Kami membuat keputusan ini bagi memastikan apa-apa formula perkongsian kuasa mestilah berasaskan prinsip maruah, ” katanya.

Vigneswaran berkata, Anwar sudah dimaklumkan mengenai perkembangan itu kerana beliau sudah membincangkan perkara itu dengan pengerusi Pakatan Harapan itu, Jumaat lalu.

“Saya bercakap dengannya, bukan untuk berunding mengenai kerusi tetapi untuk memberitahunya yang kami mahu keluar BN. PM menasihatkan saya untuk menilai semula kerana kami sudah lama bersama BN,” katanya.

Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara itu menambah Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi belum dimaklumkan mengenai perkara itu kerana MIC menganggapnya sebagai urusan dalaman parti.

Beliau menegaskan kerusi wakil rakyat MIC kekal jika parti itu keluar BN kerana undang-undang antilompat parti tertakluk kepada individu yang melompat parti, bukannya parti politik yang menukar sokongan.

Terdahulu dalam ucapan dasarnya, Vigneswaran menyerahkan kepada perwakilan yang hadir pada perhimpunan tahunan itu untuk menentukan hala tuju dan masa depan parti itu dalam BN.

“Keputusan anda hari ini akan menentukan hala tuju, kekuatan dan kerelevanan kita (MIC) untuk tahun-tahun yang akan datang. Jika anda tidak dapat membuat keputusan, maka kami meminta anda untuk percaya dan memberi mandat tersebut kepada Jawatankuasa Kerja Pusat dan kepimpinan tertinggi parti.

“Hal ini supaya kami boleh bertindak dengan amanah yang dipertanggungjawabkan demi memastikan apa yang terbaik untuk masa depan parti kita,” katanya.

Vigneswaran turut mengimbau perjalanan MIC dalam gabungan Perikatan sebelum menjadi BN, dengan perjuangan asal berdasarkan tujuan, kepercayaan dan kerjasama tulen yang membina negara.

“Jika itu tuntutan takdir, maka kita bukan melarikan diri daripada sejarah, kita kembali kepadanya.

Marilah kita terus melangkah dengan kesyukuran atas apa yang telah berlalu, penghormatan terhadap rakan seperjuangan dan keyakinan menuju masa depan. Hal ini kerana kisah MIC bukan berakhir, sebaliknya satu permulaan baharu. Kisah tentang keberanian… keyakinan. Kisah tentang sebuah komuniti yang tidak pernah putus asa,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment