KOTA KINABALU 12 Nov. – Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mengumumkan penambahan empat calon baharu bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 menjadikan 45 kerusi yang akan ditandingi pada 29 November ini.
Penambahan itu sebagai langkah memperkukuh barisan kepemimpinan dan kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya berkenaan.
Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, berkata keputusan dibuat selepas meneliti perkembangan mutakhir serta hasil rundingan yang diperhalusi bagi memastikan representasi parti lebih menyeluruh dan strategik.
“Kerusi-kerusi tambahan ini diputuskan selaras dengan aspirasi BN untuk memastikan representasi yang lebih menyeluruh, berimbang dan strategik, sesuai dengan keperluan rakyat serta dinamika politik negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Empat calon baharu yang diumumkan ialah Willey Lampaki bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N06 Bandau; Rahmah Jan Sulaiman (N43 Kemabong); Datuk Chin Kim Hiung (N54 Karamunting) dan Chaya Sulaiman (N70 Kukusan).
Beliau berkata penambahan itu mencerminkan komitmen berterusan BN Sabah untuk memastikan setiap komuniti di kawasan pilihan menerima pembelaan serta khidmat terbaik daripada calon berwibawa dan bersedia menggalas amanah rakyat.
“Jentera parti di semua peringkat diminta untuk menggiatkan persiapan dan melaksanakan gerak kerja secara tersusun, inklusif dan berfokus demi memastikan kemenangan dan mandat rakyat kembali kepada BN,” katanya.
BN Sabah sebelum ini mengumumkan senarai 41 calon yang menggandingkan muka baharu dan lama.
Bung Mokhtar berkata barisan calon yang diketengahkan oleh BN kali ini membawa penawaran kepemimpinan lebih segar dan menyeluruh bukan sahaja untuk memperkukuh kestabilan politik, tetapi juga mengangkat Sabah ke arah pembangunan yang lebih inklusif.
“Saya berharap barisan calon ini dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya serta membuktikan kemampuan untuk meraih keyakinan pengundi, sekali gus memastikan kemenangan BN,” katanya.
Nnnn
