RIYADH 5 Nov. – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan melawat “Saudi Arabian Military Industries” (SAMI) dan juga ibu pejabat syarikat haruman terkemuka, “Arabian Oud”, sempena lawatan negara empat hari ke Arab Saudi.
Keberangkatan tiba Baginda di SAMI disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Thamer Al-Muhid, yang turut mempersembahkan taklimat sepanjang lawatan.
SAMI yang ditubuhkan pada 2017 merupakan sebuah syarikat milik Dana Pelaburan Awam Arab Saudi, bagi membangunkan dan menyokong industri pertahanan di negara itu ke arah memperkukuhkan keupayaan kendiri dalam bidang berkenaan.
Ia memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada usaha penyetempatan 50 peratus perbelanjaan pertahanan kerajaan Arab Saudi, salah satu sasaran utama Saudi Vision 2030.
Selesai lawatan di SAMI, Sultan Ibrahim berangkat ke ibu pejabat Arabian Oud, bagi menyaksikan secara dekat proses dan seni dalam penghasilan wangian oud yang berkualiti tinggi.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Arabian Oud Omar Abudulaziz Sulaiman Al Jasser yang menyampaikan sembah taklimat mengenai sejarah, produk dan pencapaian syarikat itu.
Sebagai penghargaan atas kunjungan diraja itu, syarikat berkenaan mempersembahkan koleksi istimewa esklusif yang mempunyai nama Sultan Ibrahim, direka khas buat Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zain, Datuk Paduka Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini dan Duta Malaysia ke Arab Saudi Syed Bakri Syed Abdul Rahman.
Nnn
