KUALA LUMPUR 21 Okt. – Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan (KKM) kini memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan wajib supaya hanya jemaah haji yang benar-benar layak daripada segi kesihatan dibenarkan menjalani ibadah itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ibadah haji bukan sekadar Rukun Islam kelima tetapi ia juga ujian kemampuan (istito’ah), termasuk kemampuan dari segi kesihatan fizikal dan mental.
Katanya, bagi mereka yang belum melepasi tahap kesihatan minimum, TH menyarankan penangguhan giliran haji dan ia bukan sebagai sekatan, tetapi sebagai peluang untuk memperbaiki kesihatan dan bersedia sepenuhnya.
Menerusi kenyataan di Facebooknya, beliau berkata, tanpa tubuh yang sihat, ibadah haji yang sempurna sukar untuk dicapai.
Justeru, TH dengan kerjasama KKM akan memastikan setiap jemaah haji mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik bermula dari tanah air hingga ke Tanah Suci.
Beliau juga menyambut baik pengumuman Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengenai syarat kesihatan baharu bagi ibadah haji musim 1447H/2026M, dan Malaysia komited untuk mematuhinya.
“Kerajaan Arab Saudi menetapkan panduan kesihatan untuk semua negara. Tujuannya jelas bagi menjaga keselamatan, kelancaran dan kesempurnaan ibadah untuk dhuyufurrahman,” katanya.
Ahad lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad dilaporkan berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi untuk memperoleh visa adalah bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadah haji dengan sendiri.
Katanya, jemaah tidak dianggap layak untuk mengerjakan ibadat haji sekiranya mengalami kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius dan penyakit paru-paru kronik.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, TH juga akan memastikan setiap penginapan jemaah di Makkah dan Madinah dilengkapi klinik kesihatan, farmasi dan pegawai perubatan bertauliah, manakala mereka yang serius akan dirujuk ke hospital Arab Saudi dengan pemantauan rapi oleh pakar KKM.
Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi terutamanya KKM juga mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kemudahan hospital sektor awam dan swasta yang moden dengan teknologi terkini dan menambah anggota kesihatan bagi operasi haji serta perkhidmatan kesihatan di kawasan utama ibadah haji.
“Dengan seramai 225 petugas perubatan KKM di Tanah Suci, kami yakin mutu perkhidmatan kesihatan jemaah Malaysia akan terus berada pada tahap terbaik.
“Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama TH dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan terus berganding bahu demi menjamin kebajikan, keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia.
“Saya yakin ibadah haji yang sempurna bermula dengan tubuh yang sihat dan hati bersedia,” katanya.
