81,880 saman dikeluarkan dalam 20 hari

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Sebanyak 81,880 saman dikeluarkan dalam tempoh hanya 20 hari bulan ini (1 hingga 20 Oktober 2025) menerusi Op Patuh Undang-Undang (Op PUU), kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus.

Beliau berkata, angka yang direkodkan itu menunjukkan bahawa walaupun kempen kesedaran dan pemantauan dijalankan selama sebulan, masih ramai pengguna jalan raya enggan mengubah sikap mereka.

“Angka ini amat membimbangkan. Jika trend ini berterusan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, ia akan menunjukkan bahawa kempen dan program kami gagal mendorong perubahan sikap.

“Saman itu dikeluarkan terhadap pelbagai kategori pengguna jalan raya termasuk 66,859 pemandu kereta, 11,346 penunggang motosikal, 1,142 pemandu van atau SUV, 757 pemandu lori, 109 pemandu bas, 625 pemandu teksi, serta 1,042 pejalan kaki,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Fadil berkata, kesalahan paling banyak direkodkan ialah halangan lalu-lintas (54,364) diikuti ingkar isyarat trafik (16,891).

Kes memandu tanpa lesen atau lesen tamat tempoh (2,388), cukai jalan tamat tempoh (1,501), kesalahan pejalan kaki seperti tidak menggunakan jejantas atau lintasan (1,042), dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau tersembunyi (1,000).

Kesalahan lain termasuk berhenti melepasi garisan putih (575), melanggar lampu merah (541), tidak memakai atau tidak memasang topi keledar dengan betul (513), menggunakan telefon bimbit semasa memandu (395), berhenti di petak kuning (367), ubah suai kenderaan (312), tidak memakai tali pinggang keledar (296), serta memotong barisan atau melanggar garisan berkembar (44).

“Kita mahu warga kota membudayakan sikap berdisiplin yang mencerminkan rasa hormat terhadap undang-undang, termasuk peraturan trafik kecil,” katanya sambil menasihatkan orang mengikut peraturan dan perlu bermula sekarang.

Katanya, Op PUU akan dikuatkuasakan secara menyeluruh dan berterusan sepanjang tahun, dengan pembabitan semua agensi dan jabatan berkaitan di Kuala Lumpur.

Beliau menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya mematuhi undang-undang kerana peraturan itu diwujudkan demi keselamatan semua.

“Walaupun polis tidak mahu terlalu bergantung kepada tindakan saman sebagai langkah pencegahan, kami tiada pilihan lain sekiranya pendidikan semata-mata tidak berkesan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment