KUALA LUMPUR 15 Okt. – Penggunaan perkataan ‘sueh’ yang difahami ‘sewel’ mencetuskan sedikit perdebatan dalam kalangan ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat petang ini.
Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) ketika perbahasan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2026 menggunakan perkataan sueh terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek susulan pelbagai isu yang timbul di sekolah ketika ini.
Dua Ahli Parlimen daripada blok kerajaan mempersoal kewajaran perkataan itu digunakan terhadap Fadhlina selepas menganggap ‘sueh’ membawa makna kurang sopan.
RSN Rayer (PH-Jelutong) terlebih dahulu bangkit meminta penjelasan adakah Rosol menggunakan perkataan ‘sewel’ terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sewaktu perbahasan.
“YB (Yang Berhormat) Hulu Terengganu menggunakan perkataan sewel atau kesewelannya. Saya minta maaf mungkin saya tersilap dengar. Itu pasal saya minta penjelasan. Adakah (tindakan) Hulu Terengganu gunakan perkataan kesewelan terhadap Menteri Pendidikan?” soalnya.
Keadaan itu membuatkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor tergelak kecil, lantas meminta Rosol menjelaskan perkataan itu kepada Rayer.
Rosol menjelaskan beliau bukan menggunakan perkataan sewel sebaliknya sueh yang bermaksud malang.
“Bukan sewel. Sewel itu gila. Saya kata sueh iaitu malang. Jadi dia (Rayer) ada masalah pendengaran Yang Dipertua,” katanya.
Setelah Ramli mendengar penjelasan itu, beliau memutuskan bahawa tiada masalah dengan perkataan sueh yang digunakan itu.
“(Jadi YB Hulu Terengganu sudah jelaskan. Bagi saya benda (perkataan) itu ok,” katanya.
Bagaimanapun Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) kemudiannya mencelah membangkitkan perkara sama dengan merujuk maksud perkataan sueh mengikut Dewan Bahas dan Pustaka (DBP) yang membawa maksud malang dan juga sial.
Namun Ramli sekali lagi menegaskan pertimbangan beliau tidak melihat penggunaan perkataan itu dalam konteks ucapan Rosol membawa maksud yang tidak elok, lalu membenarkannya.
Nnnn
