PN mahu perkenal BPN RM6,000 setahun

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Perikatan Nasional (PN) akan memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah memerlukan jika dipilih mentadbir Putrajaya selepas PRU16.

Ketua Pembangkang  Hamzah Zainudin turut memberi bayangan pembangkang akan menawarkan pendidikan percuma di peringkat pra-siswazah serta menambah peruntukan kesihatan.

Ahli Parlimen Larut itu berkata,  berdasarkan Belanjawan 2026 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu, pihaknya yakin kedudukan fiskal negara memberi keupayaan memperkenalkan BPN.

“Berbeza bantuan bersyarat dan terhad seperti skim SARA yang mengekang pilihan rakyat, PN akan memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menentukan sendiri perbelanjaan mereka, di mana dan apa yang mereka perlukan,” katanya.

Mengulas lanjut tawaran pendidikan percuma bagi peringkat pra-siswazah, Hamzah yang juga timbalan presiden Bersatu berkata bantuan itu akan dikhususkan kepada penerima BPN atau golongan rentan.

Menurutnya, PN juga akan memastikan pelajar yang layak mengikut merit diberikan biasiswa bagi menyempurnakan pengajian ijazah pertama dalam bidang strategik.

“Autonomi kepada institut pengajian tinggi awam juga akan diperluaskan melalui Tabung Endowment khususnya membabitkan universiti penyelidikan,” katanya.

Hamzah juga berkata peruntukan lebih tinggi disalurkan untuk menampung kenaikan kapasiti hospital kerajaan di seluruh negara selaras prinsip Maqasid Syariah.

“Kami ingin sektor kesihatan diberikan keutamaan melebihi dari kementerian lain,” katanya.

Jelasnya, belanjawan alternatif PN yang bernaratifkan ‘Membetulkan Struktur, Menyemarakkan Ekonomi dan Melegakan Rakyat’ itu diperkenal bagi menyelamatkan ekonomi negara.

“PN berpendirian jelas ekonomi negara tidak boleh diselamatkan hanya dengan agihan. Kita mesti membesarkan kek ekonomi, mencipta peluang dan menambah hasil supaya setiap rakyat mendapat bahagiannya dengan adil,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment