SEPANG 4 Okt. – Dakwaan kononnya terdapat minuman beralkohol dalam majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan program lebih awal adalah tidak berasas sama sekali dan amat mengelirukan
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing dalam satu kenyataan menegaskan, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
Katanya,, acara makan malam yang dijadikan isu oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin sebenarnya inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
“Mereka begitu teruja kerana buat julung kali kita mengambil inisiatif menganjurkan acara global sebegini, dan atas semangat tersebut, mereka berhasrat menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam tersebut.
Sekiranya YB Masjid Tanah tidak berkongsi semangat yang sama, itu tidak mengapa, namun janganlah sampai menjejaskan usaha dan inisiatif baik ini dengan tindakan yang bersifat sabotaj,” katanya mengulas dakwaan Mas Ermieyati mengenai hidangan arak pada majlis rasmi kerajaan.
King Sing juga meminta Mas Ermieyati agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan Perlembagaan Persekutuan untuk mengelirukan rakyat kerana majlis bukan rasmi seperti itu tidak ada kaitan dengan hal tersebut.
Mengeluarkan kenyataan tanpa memahami fakta sebenar bukan sahaja mengelirukan, malah menampakkan kejahilan.
Katanya, mengeluarkan kenyataan tanpa fakta dan bersifat fitnah hanya untuk mempopularkan diri sendiri hanya akan menimbulkan keraguan dan menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia hingga akhirnya langsung tidak menguntungkan sesiapa,
Ahli Parlimen Bintulu itu juga menjelaskan, Tourism Malaysia hanya memainkan peranan sebagai pemudah cara, di samping mengambil peluang tersebut untuk mempromosikan siri acara kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Jelasnya, ia satu peluang untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia melalui kerjasama erat dengan pihak industri.
King Sing berkata sebanyak 318 acara daripada setiap negeri di Malaysia telah disenaraikan dalam Kalendar Acara VM2026.
“Adakah usaha sebegini juga dianggap salah? Saya ingin menegaskan sekali lagi, segala pengisian makanan dan minuman dalam majlis makan malam tersebut bukan di bawah penyediaan Tourism Malaysia.
“Peranan kami hanyalah tertumpu kepada penyelarasan persembahan seni dan budaya serta pelancaran Kalendar Acara VM2026 yang turut diadakan pada malam tersebut,” katanya..
King Sing turut memaklumkan, kementerian sentiasa menghormati kepelbagaian budaya dan pegangan agama di Malaysia, malah tidak akan sama sekali membenarkan sebarang penyelewengan fakta berlaku.
Katanya , pada majlis makan malam itu, penganjur telah menyediakan pelbagai pilihan minuman tanpa alkohol dengan mencukupi, di samping memenuhi keperluan tetamu antarabangsa demi memastikan setiap aspek diraikan sebaik mungkin.
“Justeru, saya juga ingin menggesa Mas Ermieyati agar menumpukan perhatian kepada perkara yang benar-benar dapat memacu kemajuan negara.
“Lebih penting lagi, anda juga mempunyai tanggungjawab untuk turut mempromosikan pelancongan negara kita sendiri, khususnya di negeri dan kawasan yang kamu wakili,” kata King Sing.
