23 sukarelawan GSF tiba di Istanbul

SEPANG 4 Okt.  – Kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) tiba di Istanbul malam ini dan diberi pemeriksaan kesihatan dan bantuan menyeluruh, termasuk aspek psikologi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata, jentera kerajaan kendalian Kementerian Luar di Istanbul akan memastikan kelancaran proses membawa mereka kembali ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Semoga semua urusan perjalanan pulang anak-anak Malaysia ini dipermudah dan dilindungi Allah SWT. Alhamdulillah!” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, kumpulan sukarelawan itu dilapor diterbangkan menaiki pesawat khas kerajaan Turkiye TK6921 dari Lapangan Terbang Ramon, Israel.

Semua mereka ditahan rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza itu dibebaskan dan akan dibawa ke Istanbul hari ini dan dijangka mula pulang ke tanah air, esok malam atau lusa.

Kelmarin, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera Israel (IDF).

Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC),  Dr Sani Araby Abdul Alim, berkata kumpulan 23 sukarelawan iitu dijangka tiba di tanah air seawal Isnin ini.

Katanya, mereka akan menaiki penerbangan komersial Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Istanbul.

“Sebenarnya kita memang mengharapkan dan berhajat untuk mereka terus pulang malam ini ke Malaysia, namun proses rundingan ini bukan sesuatu yang mudah yang dijalankan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan.

“Jadi Kerajaan Turkiye sangat berbesar hati untuk memberikan tajaan penginapan hotel di Istanbul supaya keseluruhan mereka ini dapat segarkan diri, berehat sebelum pulang ke tanah air dalam keadaan mengukir senyuman serta membina semula semangat mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Israel menyatakan mereka sudah menghentikan flotila yang membawa bantuan ke Gaza dengan tentera lautnya memintas semua kecuali satu kapal yang cuba memecahkan sekatan.

Daripada 42 kapal dijejaki secara dalam talian oleh GSF, 41 kapal dilapor sudah disahkan atau dianggap telah dihentikan IDF.

Sehingga petang kelmarin, GSF memulakan siaran langsung di Instagram, menayangkan rakaman kapal Marinette yang masih berlayar.

Related posts

Leave a Comment