SEPANG 4 Okt. – Sebahagian daripada 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotila (GSF) yang ditahan tentera Israel pada Khamis, dibicarakan tanpa kehadiran peguam mereka, kata Menteri Luar, Mohamad Hasan.
Katanya, peguam dari Pusat Undang-Undang untuk Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH), yang bersiap sedia untuk memberikan perwakilan undang-undang kepada rakyat Malaysia, membantah tindakan itu.
Justeru beliau berharap baki rakyat Malaysia akan dibicarakan dengan kehadiran peguam pada Isnin.
“Ketika ini, Israel sedang menyambut cuti keagamaan (Yom Kippur),” katanya pada sidang media selepas taklimat mengenai situasi terkini rakyat Malaysia di Pusat Gerakan Sumud Nusantara (SNCC), di sini.
Mohamad berkata, kerajaan sebelum ini sudah memaklumkan kepada sukarelawan untuk menandatangani surat pengusiran bagi memudahkan proses deportasi mereka sekiranya ditahan.
Sementara itu, Ketua Pengarah dan jurucakap Pusat Gerakan Sumud Nusantara (SNCC), Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, peguam hanya dapat berjumpa dengan sukarelawan Malaysia sekali sahaja.
Bagaimanapun, mereka dihalang untuk mengadakan pertemuan kali kedua.
“SNCC dimaklumkan bahawa dalam tempoh 24 jam lalu, beberapa rakyat Malaysia masih dinafikan akses (kepada peguam),” katanya.
Sani berkata, SNCC menerima laporan bahawa seramai 462 peserta berada dalam tahanan Israel, dengan hanya empat orang dibebaskan setakat ini menjadikan 458 orang masih ditahan.
Dalam pada itu Mohamad berkata pelbagai negara memberi bantuan diplomatik dalam usaha kerajaan untuk membawa pulang 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza.
Mohamad berkata beliau sendiri juga sudah menghubungi rakan sejawat dari Jordan dan Mesir.
Di samping itu, kerajaan turut memohon bantuan daripada negara anggota ASEAN yang mempunyai kedutaan di Israel, bagi menyediakan khidmat konsular kepada rakyat Malaysia yang ditahan itu.
Menurut Mohamad, semasa lawatan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2025 di New York, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini, beliau juga menghubungi Timbalan Setiausaha Negara AS berhubung perkara sama.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, kita meminta negara (ASEAN) lain yang ada kedutaan di Israel supaya memberi bantuan khidmat konsular kepada rakyat kita yang ditahan itu, memandangkan Malaysia tiada kedutaan mahupun hubungan diplomatik dengan Israel.
“Hasil rundingan dilakukan, pihak Kerajaan Jordan serta Turkiye memberi jaminan akan membantu rakyat kita sebagaimana usaha bagi membebaskan rakyat mereka yang turut ditahan Israel dalam misi berkenaan.
“Ada banyak negara yang bersahabat dengan Malaysia, bersedia untuk membantu seperti mana kita membantu Singapura membawa rakyatnya keluar ketika Iran dibom sebelum ini,” katanya.
Nnn
