Muhyiddin sedia ambil tindakan dakwaan kontrak menantu

KUALA LUMPUR 15 Feb. –  Pengerusi Perikatan Nasional (PN),  Muhyiddin, akan mengambil tindakan sewajarnya susulan tuduhan beliau terbabit rasuah, khususnya berhubung dakwaan memberikan kontrak bernilai RM1 bilion kepada menantunya.

Kenyataan tegas itu disuarakan Ahli Parlimen Pagoh itu ketika menjawab gesaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang mencelah ketika bekas Perdana Menteri itu membahaskan usul Titah Diraja ketika Sidang Parlimen hari ini.

“Itu adalah suatu fitnah dan pembohongan…tak apa kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya tanpa mengulas bentuk tindakan yang akan diambil.

Poay Tiong sebelum itu bangun mengajukan soalan mengenai kontrak yang diberikan kepada menantu, walaupun tidak diberikan laluan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu yang sedang berucap.

Beberapa Ahli Parlimen turut serta termasuk Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang turut menggesa Muhyiddin mengambil tindakan sekiranya dakwaan rasuah itu satu pembohongan.

Sementara itu, Muhyiddin dalam perbahasannya turut mendakwa kerajaan ketika ini mengambil tindakan berbentuk ‘witch-hunting’ dengan mencari kesalahan kerajaan sebelum ini yang tidak wujud.

“Mereka melemparkan tuduhan bukan-bukan, katanya saya seleweng RM600 bilion…ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibarhim) kata. Lepas itu dah tukar RM530 bilion, RM90 bilion, RM45 bilion dan selepas itu, RM300 juta.

“Kalau dari segi undang-undang, ini adalah fitnah. Saya belum kata nak ambil tindakan undang-undang sebab saya nak beri peluang kepada Perdana Menteri baharu.

“Satu sen, pun tak ada. Apa disebut itu adalah pakej rangsangan, bukan untuk kita dapat kontrak,” katanya.

Muhyiddin turut mempersoalkan tindakan membekukan sejumlah pegawai tinggi kementerian, yang didakwa dilakukan selepas kerajaan baharu mengambil alih.

Ia susulan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mencelah dalam perbahasannya dan mendakwa, beliau difahamkan kira-kira 20 ketua jabatan, termasuk Ketua Setiausaha ketika ini dibekukan tugas.

“Penjawat awam ini bersikap profesional, kenapa kita nak bekukan mereka?
“Jawatan tertinggi, Ketua Setiausaha Perbendaharaan belum lagi diisi. Bagaimana kerajaan nak jalankan kerja? Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), yang menjaga perkhidmatan awam dan pelantikan, kenapa buat begitu?

“Sebagai penjawat awam, ada proses dan prosedur mereka. Jika mereka lakukan kesalahan, mereka boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin, bukan dibekukan dan (jawatan) tidak diisi.

“Jadi, yang jadi menteri, siapa nak bantu? Takkan anak sendiri yang duduk dalam pejabat nak bantu? Apa pengalamannya? Tidak tahu apa-apa pun,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu juga menggesa kerajaan terus menyediakan bantuan fiskal dan bukan fiskal kepada sektor ekonomi utama menerusi Belanjawan 2023 bagi memastikan proses pemulihan ekonomi negara tidak terjejas.

Begitu juga perhatian wajar diberikan kepada usaha memudahcara pertumbuhan dalam semua sektor utama.

“Sektor yang terjejas teruk seperti pembinaan, pertanian, pembuatan dan perkhidmatan, termasuk subsektor pelancongan serta perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) mesti dipastikan terus berada pada landasan pemulihan yang betul.

Masalah yang mereka hadapi seperti aliran tunai, kekurangan pekerja dan peningkatan kos operasi perniagaan mesti ditangani dengan cekap dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata sektor ekonomi yang dinyatakan itu masih memerlukan sokongan kerajaan dalam usaha pemulihan, terutama bagi menghadapi keadaan ekonomi dunia yang dijangka lebih suram tahun ini.

“Kita tidak mahu sektor yang sedang pulih ini jatuh lagi akibat kemelesetan ekonomi global yang akan turut menjejaskan ekonomi negara kita,” tambahnya.

Related posts

Leave a Comment