MANILA – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, menyifatkan protes jalanan terhadap skandal projek tebatan banjir sebagai wajar dan tidak menyalahkan rakyat atas kemarahan mereka.
Skandal infrastruktur itu mencetuskan beberapa siri protes di Manila dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk satu membabitkan kira-kira 3,000 pelajar di kampus Universiti Filipina.
“Untuk menunjukkan bahawa anda marah, kecewa, dan mahukan keadilan… Apa salahnya itu? Saya tidak menyalahkan mereka. Sedikit pun tidak.” kata Marcos dalam satu sidang media.
Walaupun kebanyakan demonstrasi itu berskala kecil, protes tahunan yang berkaitan dengan pengisytiharan undang-undang tentera pada 1972 oleh bapanya, dijangka menarik ramai peserta.
Tentera juga diletakkan dalam ‘waspada merah’ sebagai langkah berjaga-jaga.
Minggu lalu, pemilik sebuah firma pembinaan mendakwa hampir 30 ahli Dewan dan pegawai Jabatan Kerja Awam dan Lebuh Raya (DPWH) menerima pembayaran tunai.
Susulan itu, Marcos Jr mengumumkan bekas hakim Mahkamah Agung, Andres Reyes akan mengetuai suruhanjaya untuk menyiasat projek kawalan banjir dalam tempoh 10 tahun terakhir.
Sepupunya, Speaker Dewan, Martin Romualdez, turut disebut dalam pendengaran skandal, namun menafikan sebarang pembabitan.
Marcos Jr menegaskan rakan dan sekutunya ‘tidak akan terlepas’ sekiranya terbabit.
Filipina mempunyai sejarah panjang skandal membabitkan dana awam, yang mana ahli politik berjawatan tinggi disabitkan kesalahan rasuah biasanya terlepas hukuman penjara yang serius.
Nnnn
