WASHINGTON – Kanak-kanak Gaza yang kebuluran kini terlalu lemah sehingga tidak bermaya walaupun untuk menangis, demikian gambaran mengerikan yang didedahkan pertubuhan ‘Save the Children’.
Presiden ‘Save The Children’, Inger Ashing berkata, kebuluran yang diisytiharkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu kini semakin buruk di Gaza dan ia bukan sekadar istilah teknikal.
“Apabila makanan tidak mencukupi, kanak-kanak akan kurang zat makanan secara akut dan kemudian mati secara perlahan serta menyakitkan. Inilah makna kebuluran dalam bahasa mudah,” katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai konflik Israel-Palestin.
Beliau menerangkan mengenai keadaan apabila kanak-kanak mati akibat kelaparan selama beberapa minggu, di mana badan mula ‘memakan’ lemak sendiri untuk bertahan.
Katanya , apabila lemak habis, badan akan ‘memakan’ otot serta organ penting dan tidak banyak yang boleh dilakukan tanpa bekalan perubatan atau makanan kerana sekatan Israel.
“Akibatnya, di klinik kami kanak-kanak yang mengharungi penderitaan ini tidak lagi bertenaga untuk bercakap atau menangis. Mereka hanya terbaring kurus kering, saban hari semakin lemah sehingga hanya mampu menunggu nyawa meninggalkan jasad mereka,” kata Ashing.
Beliau berkata kumpulan bantuan sudah lama memberi amaran bahawa kebuluran bakal berlaku apabila Israel menghalang kemasukan makanan dan keperluan asas lain ke Gaza sepanjang dua tahun perang yang tercetus pada Oktober 2023.
“Setiap orang dalam bilik ini mempunyai tanggungjawab undang-undang dan moral untuk bertindak menghentikan kekejaman ini,” tegasnya.
Jumaat lalu, PBB secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di Gaza dan menyalahkan halangan sistematik oleh Israel terhadap bantuan sepanjang perang lebih 22 bulan.
Nnn
