Pindah penduduk Gaza tidak dapat dielak

TEL AVIV – Pemindahan penduduk Bandar Gaza tidak dapat dielakkan menjelang serangan tentera besar-besaran yang sedang dirancang.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Avichay Adraee, menerusi platform X, turut menasihati penduduk bandar itu supaya bersedia meninggalkan kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pasukan Israel sudah meninjau kawasan luas yang kosong di selatan bandar itu bagi membantu penduduk berpindah serta akan disediakan khemah dan dibangunkan infrastruktur bagi mengagihkan bantuan serta air.

“Setiap keluarga yang berpindah ke selatan akan menerima bantuan kemanusiaan paling besar, yang sedang diusahakan ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, kumpulan bantuan memberi amaran bahawa serangan ketenteraan Israel akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah itu.

Ketika ini sebahagian besar daripada lebih 2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, kejiranan yang musnah dan kebuluran diisytiharkan di Bandar Gaza.

Lebih 80 peratus Gaza ditetapkan sebagai zon ketenteraan Israel atau tertakluk kepada arahan pemindahan, menurut agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Israel meneruskan rancangan untuk menggerakkan puluhan ribu anggota simpanan dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata pihak tentera akan melancarkan serangan sambil meneruskan usaha gencatan senjata.

Sementara itu di Washington, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dijadual bertemu dengan Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar, bagi membincangkan Gaza pasca perang, walaupun rundingan gencatan senjata semakin goyah.

Witkoff memberitahu Fox News, bahawa Presiden AS, Donald Trump mempengerusikan mesyuarat berasingan bagi memaparkan ‘pelan komprehensif yang sedang dirangka untuk masa depan Gaza’.

Witkoff turut berkata pendirian rasmi AS adalah bahawa tebusan tidak lagi seharusnya menjadi sebahagian daripada rundingan.

Katanya, rundingan sebaliknya perlu menumpukan kepada isu-isu termasuk masa depan Gaza dan bagaimana mendefinisikan Hamas dalam konteks berkenaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment