37,538 aduan kacau ganggu anjing terbiar

KUALA LUMPUR 28 Ogos  – Pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima sebanyak 37,538 aduan kacau ganggu anjing terbiar sepanjang tahun lalu dan sebanyak 15,815 operasi berkaitan dilaksanakan dalam tempoh yang sama.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, berdasarkan operasi itu, sebanyak 66,264 anjing terbiar ditangkap di mana 19,354 anjing sudah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), dituntut semula oleh pemilik dan melalui program anjing angkat.

“Usaha yang berterusan menerusi kaedah tangkapan, tuntutan semula, adopsi atau serahan kepada NGO (badan bukan kerajaan) serta pelupusan (TRRD) ini akan dilaksanakan bagi mengekang pertambahan populasi anjing terbiar.

“(Ia) bagi mengatasi kegusaran masyarakat setempat terhadap kes gigitan anjing, masalah kacau ganggu dan keselamatan kepada komuniti, ancaman kecederaan dan kematian akibat serangan anjing liar serta pencemaran kebersihan kawasan-kawasan awam yang menjejaskan imej bandar sebagai kawasan yang bersih dan selamat,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai bagaimana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengukur kejayaan atau kegagalan usaha kawalan populasi haiwan terbiar sedia ada seperti kaedah TRRD dan bukti bahawa kaedah itu berjaya.

Kor Ming berkata, kejayaan jangka panjang dalam kawalan populasi haiwan terbiar juga amat bergantung kepada kerjasama bersepadu semua pihak.

“(Ia) termasuk komuniti, menerusi amalan pemilikan haiwan yang bertanggungjawab, kawalan pembiakan serta pendidikan kesedaran awam,” katanya.

Katanya, buat masa ini, KPKT melalui PBT kekal menggunakan kaedah TRRD dalam pengurusan anjing terbiar iaitu membabitkan penangkapan, tempoh tuntutan semula haiwan oleh pemilik asal dan cadangan adopsi oleh pihak yang bertanggungjawab.

Manakala proses pelupusan secara beretika adalah kaedah terakhir sekiranya haiwan tersebut didapati agresif, berpenyakit, terlalu uzur atau tidak sesuai untuk diadopsi.

“Bagi anjing yang tidak dituntut semula oleh tuan anjing atau diadopsi oleh orang ramai, PBT boleh menyerahkan anjing berkenaan kepada NGO tertentu mengikut kapasiti keupayaan dan kewangan pusat perlindungan haiwan NGO tersebut,” katanya.

Bagaimanapun dalam masa sama beliau turut menggesa pihak NGO memainkan peranan tidak melepaskan anjing yang telah diserahkan kepada mereka dan memberikan kerjasama dengan PBT untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment