Covid-19: India tingkat langkah kawalan

MUMBAI 23 Dis. – India meningkatkan langkah berjaga-jaga dan mengarahkan supaya langkah pengawasan yang berterusan, terutamanya di lapangan terbang antarabangsa berikutan peningkatan kes Covid-19 di China.

Perdana Menteri Narendra Modi dalam satu mesyuarat semalam mengingatkan semua pihak agar tidak berpuas hati sebaliknya menggesa orang ramai memakai pelitup muka di tempat yang sesak.

“Covid belum berakhir,” kata Modi sambil meminta pihak berkuasa meningkatkan ujian, penjujukan genom, dan menggalakkan orang ramai terutama warga emas mengambil dos penggalak.

Sementara itu mulai Khamis, India melakukan ujian saringan Covid-19 secara rawak terhadap penumpang antarabangsa yang tiba di lapangan terbang negara itu.

Menteri Kesihatan, Mansukh Mandaviya mengumumkan peraturan baharu itu susulan peningkatan kes koronavirus di negara jirannya itu.

Pada masa yang sama, tiada penerbangan terus dari China ke India tetapi pelawat masih boleh memasuki India melalui laluan lain.

Mandaviya  turut menggesa kerajaan negeri meningkatkan pengawasan bagi sebarang varian koronavirus baharu dan menghantar sampel semua kes positif ke makmal penjujukan genom.

Beliau turut meminta orang ramai memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal walaupun ia tidak diwajibkan.

India yang pernah menjadi pusat penularan bagi kes Covid-19 melonggarkan peraturan pemakaian pelitup muka awal tahun ini selepas kes koronavirus mula menurun dengan mendadak.

Menurut data Kementerian Kesihatan, India kini merekodkan kira-kira 3,400 kes Covid-19 aktif manakala di China, kes jangkitannya meningkat sejak ia melonggarkan sekatan ketat awal bulan ini berikutan protes awam yang berlaku.

Related posts

Leave a Comment