Dakwa individu bakar, hina bendera AS

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sudah menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan Peguam Negara AS mendakwa mereka yang membakar atau menghina bendera negara itu.

Perintah itu mengarahkan Peguam Negara untuk ‘mendakwa dengan tegas’ individu yang melanggar undang-undang berkaitan merosakkan bendera.

“Jika anda bakar bendera, anda akan dipenjara setahun, tiada pengurangan hukuman, tiada apa-apa,” kata Trump ketika menandatangani perintah itu di Pejabat Oval.

Peguam Negara turut diarah mengambil tindakan undang-undang bagi menjelaskan skop Pindaan Pertama Perlembagaan berhubung isu itu, sekali gus mencetuskan kritikan daripada pejuang hak kebebasan bersuara.

Pindaan Pertama Perlembagaan AS melindungi hak kebebasan bersuara individu. Mahkamah Agung AS pada 1989 memutuskan bahawa tindakan membakar atau memusnahkan bendera negara dilindungi sebagai hak kebebasan bersuara.

Anda tidak perlu menyukai tindakan membakar bendera. Anda boleh mengecamnya, membahaskannya, atau mengibarkan bendera anda lebih tinggi.

“Keindahan kebebasan bersuara ialah anda boleh menyatakan pendapat anda, meskipun orang lain tidak menyukainya,” kata kumpulan hak kebebasan bersuara, Foundation for Individual Rights and Expression, dalam kenyataan mengecam perintah Trump itu.

Perintah yang ditandatangani Trump itu turut mengarahkan peguam negara merujuk kes merosakkan bendera kepada pihak berkuasa negeri atau tempatan, selain mengarahkan pentadbiran untuk melarang serta membatalkan visa, permit kediaman dan proses naturalisasi individu yang terbabit.

Aktivis hak sivil dan pakar hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan mengenai kebebasan bersuara susulan beberapa tindakan pentadbiran Trump sejak beliau memegang jawatan pada Januari.

Ini termasuk ugutan memotong dana Persekutuan universiti kerana mengadakan protes pro-Palestin terhadap serangan tentera sekutu AS, Israel, di Gaza; percubaan mengusir penunjuk perasaan asing dan peraturan imigresen yang menolak permohonan visa serta faedah imigresen bagi sesetengah individu.

Tidak ketinggalan, semakan terhadap muzium berhubung penggambaran sejarah AS. Trump menyifatkan usaha itu sebagai langkah mengekang apa yang didakwa pentadbirannya sebagai ‘anti-Amerikanisme’.

“Mencemarkan (bendera AS) adalah tindakan yang amat menghina dan mencabar. Ia adalah kenyataan penuh kebencian, permusuhan dan keganasan terhadap negara kita,” menurut perintah itu.

Pentadbiran Trump turut menyatakan dalam perintah itu bahawa keputusan Mahkamah Agung mengenai Pindaan Pertama tidak melindungi tindakan seperti mencemarkan bendera AS yang berpotensi mencetuskan ‘tindakan haram segera’ atau yang dianggap sebagai ‘kata-kata mencabar’.

Related posts

Leave a Comment