Malaysia mahu isu kekejaman Israel ke ICC, ICJ

KUALA LUMPUR 26 Okt. –  Isu berkaitan Palestin telah pun dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan masih dalam proses siasatan, kata Menteri Luar,  Dr Zambry Abdul Kadir.

Katanya, mengikut peruntukan dalam Statut Rom, sesuatu kes jenayah antarabangsa yang tersenarai dalam Statut itu hanya boleh dirujuk kepada ICC oleh tiga pihak, sama ada negara-negara ahli Statut Rom di mana Malaysia bukan sebahagiannya, Majlis Keselamatan PBB atau Pendakwa Raya ICC.

“Palestin sudah menerima pakai Statut Rom pada 2015. Susulan itu, Pendakwa Raya ICC sudah membuat pemeriksaan awal ke atas situasi Palestin, sama ada kriteria-kriteria Statut Rom dipenuhi untuk membuka sebarang siasatan.

“Pada Disember 2019, pihak Pendakwa Raya ICC memutuskan kriteria-kriteria berkanun di bawah Statut Rom dipenuhi bagi membuka siasatan.

“Seterusnya, Pra-Perbicaraan Dalam Kamar sudah dilaksanakan pada Februari 2021 untuk menentukan sama ada ICC mempunyai bidang kuasa ke atas situasi Palestin disebabkan ia membabitkan isu perundangan dan wilayah yang kompleks, mencakupi Tebing Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis,” katanya.

Beliau berkata, hasil Pra-Perbicaraan Dalam Kamar itu, Pendakwa Raya ICC mengumumkan pada Mac 2021 untuk membuka siasatan atas situasi Palestin dan dakwaan jenayah dilakukan oleh pihak Israel sejak 13 Jun 2014 tanpa ada tempoh tamat.

Dr Zambry berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai usaha mengheret Benjamin Netanyahu ke ICC

Malaysia menurut Menteri Luar itu akan sentiasa menyeru dan bekerjasama dengan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara sepemikiran agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat merujuk isu kekejaman Israel bukan sahaja ke ICC, malah ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Dalam pada itu, Malaysia bersama Liga Arab dan negara anggota OIC akan terus memberikan tekanan supaya hasrat Israel melakukan pencerobohan darat ke atas Gaza tidak berlaku.

Beliau berkata, meskipun rancangan rejim itu sudah diketahui sejak dua minggu lalu, sehingga kini tindakan tidak bertanggungjawab itu masih belum dilakukan.

“Walaupun sudah lebih dua minggu mereka merancang, (pencerobohan darat ke atas Gaza) masih belum dilakukan.

Tetapi kita tak boleh mengambil mudah, sebab mereka sedang siap sedia untuk melakukannya. Sebab itulah Malaysia dan negara OIC bertungkus lumus dalam beberapa hari ini bagi memastikan perkara ini tak dilakukan,” katanya menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang).

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan negaranya sedang bersedia untuk melakukan pencerobohan darat ke atas Gaza.

Katanya, keputusan mengenai bila tentera akan memasuki kawasan Palestin yang dikawal oleh Hamas, akan dibuat kabinet perang khas kerajaan, termasuk satu daripada ketua parti pembangkang.

Dalam pada itu, Zambry memaklumkan beliau sendiri sepatutnya berada di New York untuk bersama-sama rakan sejawat dari negara lain sempena Sesi Khas Kecemasan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat PBB semalam.

Bagaimanapun, katanya, beliau ditugaskan untuk berada di tempat lain, bagi melaksanakan misi untuk mengekang tindakan yang mahu digerakkan Israel itu.
Beliau menegaskan, Malaysia bagaimanapun akan menyampaikan komitmen serta pendirian tegas ketika Sesi Khas Kecemasan pada UNGA di New York itu.

“Kita bersama OIC dan Liga Arab, mengemukakan satu cadangan untuk diadakan satu perhimpunan khas PBB dan ia sudah pun diluluskan.

“Hari ini, akan diadakan satu persidangan khas PBB bukan Majlis Keselamatan, tetapi UNGA beri ruang setiap negara yang datang memberi pandangan, meminta supaya langkah memberhentikan sebarang bentuk serangan ke atas Gaza. Malaysia melakukan sebaik-baiknya untuk menghentikan tindakan itu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment