NEW DELHI – Langkah kerajaan India membentangkan rang undang-undang (RUU) untuk memecat ahli politik kanan jika mereka ditahan dan dipenjarakan selama 30 hari mendapat kritikan pembangkang.
Pembangkang menyifatkan langkah itu sebagai usaha ‘menakutkan’ untuk memusnahkan perlindungan Perlembagaan.
RUU itu akan memaksa ahli politik melepaskan jawatan menteri jika mereka ditahan selama sebulan dan dituduh dengan kesalahan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau lebih.
Beberapa penentang Perdana Menteri, Narendra Modi, berdepan siasatan atau perbicaraan jenayah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk dua ketua menteri negeri pada tahun lalu.
Arvind Kejriwal, ketika itu Ketua Menteri Delhi, yang dipenjara selama beberapa bulan atas dakwaan pentadbirannya menerima rasuah dalam pengagihan lesen arak. Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai pemburuan politik oleh kerajaan BJP.
Ketua Menteri Jharkhand, Hemant Soren, yang juga daripada parti pembangkang, ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan rasuah pada Februari 2024, yang turut beliau nafikan.
Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, yang membentangkan RUU itu, berkata kerajaan mahu ‘nilai etika ditingkatkan’.
Persatuan Pembaharuan Demokrasi India, sebuah pertubuhan yang memperjuang pembaharuan pilihan raya, memaklumkan hampir separuh daripada 543 ahli parlimen negara itu berdepan dakwaan kes jenayah.
Daripada 215 kes itu, 170 kes membabitkan pertuduhan serius, termasuk rogol, pembunuhan, cubaan membunuh dan penculikan.
