Pemuda Pulau Pinang teguh bersama Dr Akmal

PERMATANG PAUH 20 Ogos – Pemuda UMNO Pulau Pinang teguh bersama Ketua Pemuda UMNO Malaysia Dr Muhamad Akmal Saleh, yang akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan pada Jumaat ini.

Justeru Ketua Pemuda Pulau Pinang Mohd Hilmi Elias mengajak orang ramai khususnya di Pulau Pinang untuk hadir di Mahkamah Bukit Mertajam pada 22 Ogos ini mulai pukul 8 pagi sebagai tanda solidariti dan sokongan moral kepada Akmal.

“Pemuda Pulau Pinang ingin menyatakan sokongan penuh dan solidariti tidak berbelah bahagi kepada Dr Akmal, dalam menghadapi proses perundangan.

Kami bersama barisan Pemuda UMNO seluruh negara akan hadir ke Mahkamah Bukit Mertajam, pada 22 Ogos ini sebagai tanda solidariti,” kata Mohd Hilmi dalam satu kenyataan.

Mohd Hilmi yang juga Ketua Pemuda UMNO Permatang Pauh berkata, perjuangan Dr Akmal adalah demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.

“Kehadiran kami bukan sahaja sebagai sokongan kepada beliau secara peribadi, tetapi juga sebagai manifestasi semangat juang Pemuda UMNO yang sentiasa teguh mempertahankan prinsip keadilan dan kebenaran.

Kami menyeru orang ramai yang cintakan keadilan untuk turut serta bersama kami pada hari tersebut. Ayuh kita tunjukkan bahawa rakyat Malaysia sentiasa bersatu hati dalam soal memartabatkan maruah negara,” katanya.

Akmal sebelum ini mengesahkan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam Jumaat ini untuk satu pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam.

Beliau yang kini sedang menunaikan umrah akan memendekkan ziarah umrah dan akan pulang ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan tersebut.

Pada 14 Ogos lalu, Akmal mengetuai lebih 300 individu dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang menaikkan bendera negara secara terbalik di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Sehubungan itu, DAP mengarahkan sayap Pemudanya (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan pemimpin muda UMNO itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata laporan polis dibuat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan, iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan.

Pada 15 Ogos lalu, Muhamad Akmal memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 11 malam.

Polis Pulau Pinang pula dalam kenyataannya memaklumkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman (USJT) mengambil alih siasatan berhubung satu video tular melalui platform Facebook atas nama Akmal Salleh yang dikatakan mengeluarkan kenyataan boleh dikategorikan ‘hate content’.

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata dalam pautan video itu, Akmal Salleh dikatakan mengeluarkan kenyataan yang dipercayai boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat dan menggugat ketenteraman awam.

Beliau berkata, pada 12 Ogos 2025, pihak polis menerima satu laporan yang dibuat di Bukit Mertajam dekat sini berkaitan pautan video yang ditularkan itu.

NNNN

Related posts

Leave a Comment