Empat pakar bantu bedah siasat

KOTA KINABALU 10 Ogos – Empat pakar termasuk pakar patologi forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor dipanggil membantu prosedur bedah siasat Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini hari ini.

Peguam, Hamid Ismail yang mewakili keluarga Allahyarham memberitahu, pakar perunding, Dr Khairul Anuar Zainun ditugas mengendalikan proses itu bersama Pakar Patologi HQE, Dr Jessie Hiu dengan dibantu dua lagi pakar.

Proses bedah siasat yang dijadualkan pada pukul 9 pagi ditangguhkan sementara kerana menunggu Dr Khairul Anuar yang tiba di sini dari Hospital Sultan Idris Shah pada pukul 10.55 pagi.

Hamid menjelaskan, proses bedah siasat sebenarnya dimulakan pada kira-kira jam 11 pagi selepas selesai pengecaman jenazah oleh ibu arwah Zara Qairina.

“Sebelum itu, doktor juga memberi taklimat kepada keluarga Allahyarham mengenai proses bedah siasat dan prosedur dimulakan selepas ibu arwah membuat pengecaman jenazah,” katanya.

Beliau berkata, keluarga Allahyarham kemudian akan diberi penjelasan mengenai hasil bedah siasat yang dijangka mengambil masa beberapa jam sebelum keputusannya diketahui.

“Bedah siasat mungkin ambil masa empat hingga lima jam, kita tidak tahu. Kemudian, Dr Jessie akan memberitahu keluarga apa yang dijumpai dan selepas itu, jenazah akan dibawa balik ke Sipitang oleh pihak polis untuk dikebumikan semula,” katanya.

Hamid percaya khidmat pakar perunding patologi dari luar yang dipanggil membantu proses bedah siasat bagi memastikan keadilan untuk arwah Zara Qairina.

“Saya percaya pihak polis mahu memastikan semua elemen untuk keadilan kepada Zara, jadi dibawa seorang doktor pakar dari Semenanjung untuk mengelakkan apa-apa pertuduhan yang tidak baik,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai yang menunggu hasil bedah siasat supaya terus berdoa memohon agar keadilan untuk arwah dapat ditegakkan.

Terdahulu, jenazah pelajar berusia 13 tahun itu tiba di hospital pada pukul 10.30 malam tadi selepas digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang pada pukul 7.30 malam.

Ia kemudian dihantar ke Jabatan Radiologi untuk Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) sebelum ditempatkan di Jabatan Forensik Perubatan.

Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth sebelum dikebumikan pada hari sama.

Related posts

Leave a Comment