PUTRAJAYA 8 Ogos – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula jenazah pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, yang dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama.
Dalam satu kenyataan hari ini, AGC memaklumkan langkah itu bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu seterusnya siasatan secara menyeluruh dapat dilakukan.
Menurut AGC, jabatan itu meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian itu dan terdapat keperluan untuk siasatan lanjut dilakukan.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan PDRM (polis Diraja Malaysia) memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, ibu kepada Zara, Noraidah Lamat, 45, memohon kubur anaknya itu digali semula demi mendapat jawapan dan keadilan berhubung kematian yang dilaporkan pada 16 Julai lalu.
Isnin lalu, AGC memaklumkan menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat AGC di Putrajaya.
Bagaimanapun, AGC menyerahkan semula laporan penuh siasatan awal kepada polis berhubung kematian pelajar sekolah agama yang meninggal dunia pada 16 Julai lalu.
Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, berkata laporan siasatan itu diserahkan pihaknya kepada polis semalam untuk pihak berkuasa itu melengkapkan siasatan.
Mangsa, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada pukul 4 pagi.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan.
Nnn
