PUTRAJAYA.8 Ogos – Belanjawan 2026 akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober ini, siri keempat Belanjawan Masani dan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 – 2030.
Susulan itu, Kementerian Kewangan (MoF) akan menyelaras pembabitan menyeluruh pihak berkepentingan dan orang awam untuk mendapatkan input belanjawan selaras dengan keutamaan Ekonomi Madani..
“Kerajaan komited untuk menterjemahkan input yang diterima ke dalam Belanjawan 2026 terutamanya yang dapat menyokong pemerkasaan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan tadbir urus yang lebih baik,” kata MoF menerusi kenyataan Prabelanjawan 2026 hari ini.
Siri keempat Belanjawan Madani dirangka bagi meneruskan Kerangka Ekonomi Madani untuk memulihkan daya tahan fiskal, memperkukuh asas ekonomi dan mengangkat darjat hidup rakyat.
Belanjawan 2026 akan terus menelusuri tiga tonggak Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu pembaharuan, terutamanya tatakelola yang baik.
MOF berkata tumpuan utama tahun depan akan terus berteraskan kepada tiga tonggak Ekonomi Madani selain adalah pemula kepada pelaksanaan RMK13.
“Belanjawan 2026 akan terus memacu pendekatan berasaskan akar umbi dan berorientasikan rakyat, yang meletakkan keperluan komuniti sebagai nadi dasar awam.
“Selain itu, ia juga akan terus memajukan agenda Ekonomi Madani melalui pendekatan berpusatkan rakyat yang menumpukan kepada keperluan masyarakat,” kata Kementerian Kewangan.
