AS sambut baik gencatan senjata

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menyambut baik pengisytiharan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang diumumkan semalam dan berharap kedua-dua negara komited terhadap penamatan segera keganasan.

Ketua Setiausaha Negara AS, Marc Rubio, dalam satu kenyataan berkata beliau dan Presiden AS, Donald Trump mengharapkan kerajaan Kemboja dan Thailand menunaikan sepenuhnya komitmen mereka untuk menamatkan konflik ini.

“Kami menghargai kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menganjurkan rundingan gencatan senjata ini dan menggesa semua pihak menunaikan janji masing-masing.

AS akan terus komited dan terbabit dalam proses yang dianjurkan bersama Malaysia ini bagi menamatkan konflik berkenaan,” katanya.

Perjanjian gencatan senjata Thailand-Kemboja mula berkuat kuasa awal pagi Selasa, sekali gus menguji keberkesanannya dalam menghentikan pertempuran terbuka selama lima hari di kawasan sempadan hutan antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak bersetuju bahawa gencatan senjata ‘tanpa syarat’ akan bermula tepat tengah malam Isnin bagi menamatkan perbalahan berhubung beberapa kuil purba yang terletak di zon pertikaian sepanjang lebih 800 kilometer (km) sempadan kedua-dua negara.

Sementara itu Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, dalam kenyataan menggesa kedua-dua negara mematuhi sepenuhnya perjanjian itu.

Beliau turut menggesa pihak bertelagah mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk menyelesaikan isu-isu tertangguh serta mencapai perdamaian berkekalan.

Thailand melaporkan seramai 11 anggota tentera dan 14 orang awam terbunuh, manakala Kemboja mengesahkan lapan orang awam dan lima anggota tentera maut.

Bagaimanapun, tentera Thailand memaklumkan bahawa mereka telah memulangkan mayat 12 anggota tentera Kemboja yang terkorban dalam pertempuran.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment