RAMALLAH – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menegaskan bahawa penderitaan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang dikepung, kebuluran dan kekurangan keperluan asas adalah satu jenayah yang tidak boleh diterima.
Dalam perutusan yang disiarkan secara langsung kepada rakyat Gaza pada Khamis petang menerusi saluran televisyen Palestine TV, Abbas berkata rakyat Palestin kini menghadapi bencana kemanusiaan terbesar pada zaman ini.
Justeru Abbas menyeru kepada gencatan senjata serta-merta dan berkekalan di Gaza, kemasukan segera bekalan makanan dan ubat-ubatan, serta pembebasan hasil cukai Palestin yang ditahan oleh kerajaan Israel.
Abbas turut menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) supaya campur tangan dan membenarkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyampaikan bantuan makanan dan perubatan.
Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa mencari jalan segera untuk membawa ratusan ribu tan bantuan kemanusiaan yang kini berada di sekitar Semenanjung Gaza masuk ke kawasan itu.
Abbas berkata tindakan menakutkan seperti kebuluran terhadap orang awam dan pembunuhan di hadapan pusat agihan bantuan di Gaza adalah ‘aib besar kepada masyarakat antarabangsa’ jika mereka tidak bertindak segera untuk menghentikan genosid itu.
Beliau menegaskan bahawa penerusan kekejaman itu merupakan satu jenayah perang yang sepenuhnya menjadi tanggungjawab pendudukan Israel.
Abbas juga mahu Negara Palestin dibenarkan mengambil tanggungjawab penuh bagi membantu rakyat Gaza kembali ke rumah mereka, menjaga keselamatan, menguatkuasakan undang-undang dan memulakan usaha pemulihan semula dengan sokongan Arab dan antarabangsa.
Katanya, cubaan untuk mengenakan kedaulatan Israel ke atas kawasan penempatan di Tebing Barat merupakan satu tindakan provokatif yang berbahaya dan mencabuli hak rakyat Palestin untuk memiliki negara yang merdeka dan berdaulat.
Beliau menggesa masyarakat antarabangsa supaya menolak pelanggaran tersebut dan mengiktiraf Negara Palestin.
