KUALA LUMPUR 15 Julai- Cadangan melantik individu pro-Israel, Nick Adams sebagai calon Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia turut mendapat bantahan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Justeru kumpulan 20 NGO itu menggesa kerajaan menggunakan hak kedaulatannya menolak pencalonan individu pro-Israel, sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) baharu ke Malaysia.
NGO terbabit dalam satu kenyataan bersama hari ini menyuarakan kebimbangan mereka itu susulan laporan bahawa penulis buku terkenal itu sedang dipertimbangkan untuk dilantik ke jawatan berkenaan.
“Memandangkan kenyataan awam beliau (Adams) yang kontroversial serta retorik yang bersifat memecah-belahkan, kami dengan penuh hormat menggesa kerajaan Malaysia untuk menolak akreditasi beliau sekiranya pencalonan itu dikemukakan secara rasmi.
“Adams mempunyai rekod membuat kenyataan bersifat provokatif yang tidak selari dengan nilai-nilai Malaysia termasuk kesederhanaan, keharmonian pelbagai budaya dan kesopanan dalam diplomasi.
Ucapan beliau yang lalu berkaitan isu kaum, agama, serta hubungan antarabangsa boleh menjejaskan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan AS selain mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk negara ini,” kata kumpulan NGO terbabit.
NGO yang menandatangani kenyataan itu adalah BDS Malaysia, Palestinian Centre for Excellence, GSP, Haluan Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Muslim Care Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR).
MyCARE, Citizens International, IKRAM, Pertubuhan Intelektual Perlis (PiP), Palestinian Forum Malaysia -PFM, Allied Coordinating Council of Islamic NGOs Malaysia (ACCIN), Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (Agenda), IKRAM Muda Malaysia, Muslim Professionals Forum, MAPIM dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM).
Pengumuman Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengenai pencalonan Adams yang juga pengulas konservatif dan penulis mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk ahli politik negara ini.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan Adams sebagai seorang nasionalis luar biasa serta usahawan yang sangat berjaya, sambil memuji komitmennya terhadap apa yang digelarnya sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’.
Kumpulan NGO berkenaan berkata Malaysia berhak menerima seorang Duta Besar yang berwibawa, mempunyai kepekaan budaya serta komited untuk memelihara hubungan antarabangsa yang kukuh dan saling menghormati.
Menurutnya, Adams sebelum ini pernah membangkitkan kenyataan dan pandangan merendahkan wanita yang menurut mereka boleh menjejaskan reputasi dan keharmonian negara.
Di samping itu, katanya, kenyataan Adams sebelum ini berkenaan kaum, agama dan hubungan antarabangsa berisiko menjejaskan hubungan dua hala yang kuat antara Malaysia dan AS.
“Contohnya, dia pernah bermegah apabila menyebabkan seorang pekerja wanita sebuah kedai dibuang hanya kerana memakai pin ‘Free Palestine’ pada bajunya,” katanya.
Selain itu, Adams pernah mengeluarkan kenyataan berbaur seksis dan memuji premis makanan tertentu yang terkenal kerana mempekerjakan pelayan berpakaian menjolok mata.
Justeru, Malaysia sentiasa menjunjung prinsip hormat-menghormati dan diplomasi yang membina,.
“Menerima pelantikan seorang duta yang dikenali dengan pendirian ekstrem dan pandangan yang memecah-belahkan boleh mencemarkan imej Malaysia sebagai negara yang aman, inklusif dan berperanan aktif dalam menjalin hubungan antarabangsa secara positif,” kata kenyataan itu.
“Kami mengucapkan terima kasih atas perhatian kerajaan terhadap perkara penting ini dan percaya keputusan yang diambil kelak akan mengutamakan keharmonian negara serta integriti diplomatik Malaysia,” katanya.
Nnn
