NEW YORK – Pegawai Israel memberi isyarat mereka mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kekal menerajui program pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza, khususnya jika gencatan senjata dicapai,
Timbalan Ketua Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), Carl Skau.berkata mereka mahu PBB terus menjadi saluran utama bagi penghantaran bantuan.
Amerika Syarikat (AS) , Mesir dan Qatar kini giat menjadi pengantara dalam rundingan bagi mencapai gencatan senjata 60 hari antara Israel dan pejuang Palestin, Hamas, di Gaza.
Israel dan AS secara terbuka menggesa PBB bekerjasama dengan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), namun PBB menolak kerana meragui ketelusan pertubuhan itu serta mendakwa model agihannya memperalatkan bantuan sebagai senjata dan memaksa penduduk berpindah.
Skau berkata beliau sudah bertemu dengan beberapa peringkat pihak berkuasa Israel minggu lalu dan GHF tidak dibangkitkan dalam perbincangan itu.
“Saya rasa ada khabar angin mengatakan PBB akan diketepikan, namun berdasarkan pertemuan saya, jelas bahawa mereka mahu PBB terus memainkan peranan utama dalam penghantaran bantuan,” katanya.
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB semalam memaklumkan pihaknya merekodkan 615 kematian berhampiran lokasi GHF dan 183 kematian ‘berkemungkinan besar berlaku di sepanjang laluan konvoi bantuan’ yang dikendalikan oleh PBB dan pertubuhan bantuan lain.
Israel dan AS menuduh Hamas mencuri bantuan daripada operasi diketuai PBB, namun dakwaan itu dinafikan kumpulan pejuang berkenaan.
Sepanjang konflik, PBB menggambarkan operasinya di Gaza sebagai mencabar, berdepan serangan ketenteraan Israel, sekatan akses yang dikenakan Israel ke dan dalam Gaza, serta kegiatan samun oleh kumpulan bersenjata.
Bagaimanapun, PBB menegaskan sistem agihan bantuannya berkesan, terutama sepanjang tempoh gencatan senjata dua bulan yang ditamatkan Israel pada pertengahan Mac di mana antara 600 hingga 700 lori bantuan berjaya dibawa masuk ke Gaza setiap hari semasa gencatan senjata itu.
