BAITULMAQDIS – Israel menyatakan minat untuk menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan musuh tradisinya, Syria dan Lubnan sambil menegaskan bahawa status Dataran Tinggi Golan adalah sesuatu yang tidak boleh dirunding.
Menteri Luar, Gideon Saar, berkata pemimpin Israel berpandangan selepas seteru utamanya Iran dilemahkan susulan perang selama 12 hari bulan ini, negara-negara lain di rantau itu kini mempunyai peluang untuk memulakan hubungan dengan Israel.
“Kami mempunyai kepentingan untuk menambah negara jiran seperti Syria dan Lubnan ke dalam lingkaran keamanan dan hunungan diplomatik sambil terus mempertahankan kepentingan keselamatan dan asas Israel,” katanya sambil menekankan, Golan akan kekal sebagai sebahagian daripada Negara Israel.
Israel telah merampas Dataran Tinggi Golan daripada Syria semasa Perang Enam Hari pada 1967 dan mengisytiharkan pengilhakan wilayah itu pada 1981.
Walaupun majoriti masyarakat antarabangsa menganggap Golan sebagai wilayah Syria yang diduduki, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Golan semasa penggal pertamanya.
Dalam pada itu Saar berkata, adalah ‘tidak konstruktif’ untuk mana-mana negara meletakkan syarat penubuhan negara Palestin sebagai prasyarat kepada jalinan hubungan dengan Israel.
“Pandangan kami ialah penubuhan negara Palestin akan mengancam keselamatan Negara Israel,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai kanan Syria menegaskan, Syria tidak akan sesekali melepaskan Dataran Tinggi Golan, yang disifatkan sebagai bahagian yang tidak terpisah daripada wilayah Syria.
Pegawai itu turut berkata, sebarang usaha hubungan diplomatik dengan Israel mesti berpaksikan kepada Inisiatif Keamanan Arab 2002 dan bukan dilakukan secara berasingan di luar kerangka berkenaan.
Pada 2020, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi menjadi negara Arab pertama menjalin hubungan dengan Israel selepas Mesir pada 1979 dan Jordan pada 1994.
Namun, perjanjian itu tidak mendapat sambutan dalam dunia Arab dan ditentang hebat rakyatnya.
Nnn
