Iran umum tamat ‘perang 12 hari’

TEHRAN – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, dalam perutusan kepada seluruh negara semalam mengumumkan penamatan ‘perang 12 hari’ yang dicetuskan oleh Israel.

Dalam perutusan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi IRNA, Pezeshkian berkata: “Hari ini (semalam), selepas penentangan hebat ditunjukkan rakyat kita, dan keazaman tinggi membina sejarah, kita menyaksikan gencatan senjata dan penamatan perang 12 hari yang dicetuskan oleh provokasi Israel.”

Beliau juga menegaskan bahawa kemenangan negaranya dalam menghadapi ancaman serantau adalah hasil daripada keteguhan rakyat, sambil menyatakan komitmen berterusan terhadap keamanan walaupun berdepan tindakan agresif Zionis dan pelanggaran janji oleh kuasa asing.

“Segala kejayaan kami datang daripada tekad rakyat Iran. Mereka adalah benteng utama negara ini dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan,” kata Pezeshkian dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan selepas rundingan telefon dengan beberapa pemimpin serantau.

Sementara itu, Pezeshkian mengadakan perbualan telefon dengan Sultan Oman, Haitham bin Tariq, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman; Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam perbualan bersama Sultan Oman, kedua-dua pemimpin membincangkan keperluan mendesak untuk mencegah ketegangan yang boleh mencetuskan konflik berskala besar.

“Kami berharap rundingan antara Iran dan AS dapat dimulakan segera dan membawa kepada hasil yang positif,” kata Pezeshkian dalam perbualannya dengan Putera Mahkota Arab Saudi.

Menurut Pezeshkian, Iran mahukan perjanjian yang adil dan munasabah selaras kerangka undang-undang antarabangsa iaitu perjanjian yang menjamin hak rakyat Iran serta menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan serantau.

Kami tidak menuntut lebih daripada hak yang sewajarnya dan mengalu-alukan sebarang sokongan daripada negara sahabat dan bersaudara dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.

Laporan itu turut menyebut Putera Mahkota Arab Saudi menyatakan negaranya mengecam tindakan Israel terhadap Iran sejak awal lagi.

“Kami dan juga negara lain di rantau ini, tidak pernah membuka ruang udara kami untuk sebarang tindakan terhadap Iran dan tidak akan berbuat demikian. Tiada sebarang operasi terhadap Iran akan dilancarkan dari pangkalan AS di negara kami.

“Kami juga memahami keperluan anda untuk bertindak balas terhadap serangan AS,” katanya.

Dalam perbualannya dengan Presiden UAE, Mohammed bin Zayed, Pezeshkian menyatakan ‘mereka mampu membina rantau itu bersama tanpa campur tangan asing, dalam suasana kerjasama, kestabilan dan keamanan’.

Presiden UAE itu menegaskan ‘kepentingan memastikan kejayaan perjanjian yang memberi manfaat kepada semua negara dan rakyat di rantau itu’ sambil mengulangi pendirian konsisten UAE yang menyokong inisiatif ke arah keamanan dan keselamatan serantau.

Dalam perbualannya dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif,

Pezeshkian menegaskan konspirasi musuh tidak mampu menggugat persahabatan antara Iran dan Pakistan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment