NEW YORK – Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani menyifatkan gencatan senjata dengan Israel membuka peluang baharu untuk diplomasi, sambil menegaskan Barat gagal memaksa Tehran tunduk.
“Kita kini lebih hampir kepada usaha diplomasi berbanding sebelum ini,” katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai usaha mencegah penularan senjata nuklear (non-proliferation) susulan 12 hari pertempuran Israel dan Iran.
Beliau berkata, ketegangan yang memuncak baru-baru ini membuktikan kegagalan pendekatan paksaan oleh negara Barat yang bertujuan memaksa Iran menghentikan program nuklear aman negara itu.
“Perang besar dan berpanjangan yang diharapkan mereka dapat memaksa Iran ‘menyerah tanpa syarat dan menghentikan program nuklearnya yang aman melalui ugutan, ancaman dan kekerasan, jelas sekali tidak berjaya.
Perkara ini menunjukkan hakikat yang jelas, hanya diplomasi dan dialog boleh menyelesaikan krisis yang tidak sepatutnya berlaku berkaitan program nuklear aman Iran,” katanya.
Pada masa sama, Iravani turut membantah kehadiran Israel dalam mesyuarat itu dengan berkata, daripada segi undang-undang dan amalan sebelum ini, Israel tidak layak untuk menyertai mesyuarat berkenaan.
Katanya, negara itu tiada kaitan dengan topik yang dibincangkan dan juga tidak terbabit dalam Resolusi 2231 atau perjanjian JCPOA, itu perjanjian yang merujuk kepada resolusi PBB yang menyokong perjanjian antarabangsa mengenai program nuklear Iran yang dimeterai pada 20 Julai 2015.
Beliau turut mendakwa Israel melakukan ‘pencerobohan jenayah’ yang disokong oleh Washington.
“Dengan sokongan penuh dari Amerika Syarikat, Israel menyerang kemudahan nuklear aman milik Iran termasuk orang awam dan infrastruktur awam,” katanya.
Sambil itu, Iravani berkata, serangan itu telah mengorbankan ‘ratusan orang tidak bersalah termasuk wanita, kanak-kanak, saintis nuklear, ahli akademik, atlet, pelajar, petugas bantuan dan pegawai kanan tentera’.
Iravani turut menegaskan komitmen Tehran terhadap prinsip pengawalan senjata nuklear, sambil menyatakan bahawa Iran terus mematuhi Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan membenarkan pemantauan meluas oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Nnn