KUALA LUMPUR 16 Jun – Pemuda MCA menyokong cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk menghidupkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan menyifatkan tindakan itu sebagai suara berani demi rakyat.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA, Jacky Kuai Sin Keong berkata sikap Akmal itu harus dicontohi oleh semua ahli politik kerana beliau bukan hanya bersuara untuk satu kaum atau parti, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Tindakan Akmal yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional membuktikan keberanian dan wawasan seorang pemimpin sejati. Kita alu-alukan lebih ramai pemimpin politik yang berani melangkaui sempadan parti demi dasar yang lebih adil dan telus,” katanya.
Dalam satu kenyataan, Jacky berkata, mulai 1 Julai, kerajaan akan meluaskan skop SST secara besar-besaran merangkumi sewaan, pembinaan, kewangan, perubatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Cukai jualan untuk barangan tidak perlu akan dinaikkan kepada 5 peratus manakala barangan mewah dikenakan sehingga 10%. Senarai barangan bebas cukai juga dikurangkan secara drastik — daripada lebih 8,000 kepada hanya 1,800 barangan.
Katanya, langkah itu jelas membebankan rakyat, berbanding GST yang lebih telus, berstruktur, dan mempunyai mekanisme kredit cukai input bagi mengelak cukai berganda serta meningkatkan ketelusan rantaian bekalan.
“Rakyat tidak tolak cukai, mereka hanya mahukan sistem yang adil dan jelas. SST pula bersifat bertingkat, menyebabkan pengguna bayar lebih tanpa mereka sedar,” kata Naib Ketua Pemuda MCA Negeri Selangor itu.
Jacky menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya melepaskan beban janji politik masa lalu, dan mengutamakan kepentingan rakyat serta kestabilan fiskal negara.
“Tindakan Akmal yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) kali ini membuktikan keberanian dan wawasan seorang pemimpin sejati. Kita alu-alukan lebih ramai pemimpin politik yang berani melangkaui sempadan parti demi dasar yang lebih adil dan telus,” katanya.
Akmal sebelum ini berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin terlepas pandang bahawa perluasan pelaksanaan SST itu akan menyebabkan barangan keperluan asas rakyat seperti biskut dan santan mengalami kenaikan harga.
Justeru, beliau melahirkan kebimbangan perluasan cukai SST akan memberikan kesan domino ekonomi kepada rakyat biasa, bukan hanya golongan maha kaya.
“Saya bersetuju jika nak cukaikan ‘avocado’ sahaja. Tetapi mungkin PMX terlepas pandang bahawa dalam senarai yang akan dikenakan SST lima peratus nanti ada biskut dan juga santan.
“YAB PMX, biskut dan santan ini digunakan oleh orang yang susah juga. Dan mungkin YAB PMX terlepas pandang mengenai kesan domino ekonomi apabila satu barang naik, maka keseluruhan sistem juga akan naik.
“Maka rakyat juga akan terkesan tidak kira apa status mereka, miskin atau kaya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Anwar sebelum itu dilaporkan mempertahankan peluasan skop SST, khususnya terhadap buah-buahan import, dengan menyatakan bahawa langkah itu bertujuan mengenakan cukai kepada golongan kaya.
Anwar memberi gambaran bahawa keputusan itu hanya akan memberi kesan kepada mereka yang memakan buah-buahan mahal seperti avokado.
Muhamad Akmal turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang disifatkannya lebih menyeluruh dan cekap.
“Sebab itu satu sistem yang komprehensif dan cekap seperti GST perlu digunakan untuk mengawal aliran cukai dengan lebih efisien.
Dan mungkin YAB PMX terlepas pandang bahawa GST itu bukan ‘general services tax’, tetapi ia adalah Cukai Barang dan Perkhidmatan, ya,” sindirnya.
Terdahulu, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa barangan pilihan tertentu seperti ketam raja (king crab), salmon, ikan kod, cendawan trufel, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Langkah tersebut adalah susulan pelaksanaan semakan dan perluasan skop SST yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Nnnn
