TEL AVIV – Israel menerima cadangan baharu untuk gencatan senjata dengan Hamas yang dikemukakan oleh utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff, manakala Hamas memaklumkan, sedang meneliti cadangan itu.
Menurut pegawai Israel, cadangan tersebut melibatkan pembebasan 10 tebusan hidup dan 18 mayat tebusan, serta gencatan senjata selama 60 hari.
Bagaimanapun, tiada makluman diberikan mengenai rundingan ke arah penamatan perang secara kekal – satu tuntutan utama Hamas yang sehingga kini ditolak oleh Israel.
Sementara, Hamas meneliti cadangan Witkoff “secara bertanggungjawab demi kepentingan rakyat, bagi memberi kelegaan dan mencapai gencatan senjata yang kekal.”
Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang Israel turut memaklumkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah memberitahu keluarga-keluarga tebusan bahawa beliau bersetuju dengan cadangan Witkoff.
Dalam sidang medianya, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt mengesahkan “utusan khas Witkoff dan Presiden mengemukakan cadangan gencatan senjata kepada Hamas yang telah disokong oleh Israel” dan perbincangan masih diteruskan.
“Kami berharap satu gencatan senjata di Gaza dapat dilaksanakan bagi memastikan semua tebusan dapat dibawa pulang. Ini merupakan keutamaan pentadbiran ini sejak awal,” kata Leavitt.
Bagaimanapun tidak semua pihak di Israel bersetuju, apabila Menteri Kewangan dari blok sayap kanan, Bezalel Smotrich menyifatkan penerimaan cadangan itu sebagai tindakan “tidak masuk akal” dan menegaskan di media sosial beliau “tidak akan membenarkan perkara itu berlaku. Noktah.”
Sebaliknya, Ketua Pembangkang Israel, Yair Lapid menggesa Perdana Menteri Netanyahu agar menerima cadangan itu “secara terbuka dan serta-merta.” malah menyatakan sokongan terhadap kerajaan sekiranya anggota sayap kanan menarik diri daripada pentadbiran.
