RIYADH – Setakat 23 Mei lalu, seramai 890,883 jemaah dari luar negara telah tiba di Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji pada musim ini, 1446H/2025, demikian menurut Direktorat Jeneral Pasport Arab Saudi.
Daripada jumlah itu, seramai 846,415 memasuki negara itu melalui lapangan terbang antarabangsa, 41,646 melalui pintu sempadan darat manakala 2,822 lagi tiba melalui laluan laut.
Tahun lalu, sebanyak 1.83 juta jemaah menunaikan rukun Islam yang kelima itu
Sementara itu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz mengundang 1,300 jemaah dari 100 negara untuk menunaikan haji tahun ini di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Ziarah.
Inisiatif itu dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan yang bertujuan memperkukuh ikatan kerohanian dan budaya dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.
Menteri Hal Ehwal Islam dan Penyelia Am Program, Sheikh Dr Abdullatif Al AlSheikh mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman dan Perdana Menteri, Mohammed Salman atas arahan murah hati itu.
Beliau berkata, langkah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk menyokong usaha Islam dan menggariskan peranan kepimpinan Arab Saudi dalam dunia Islam.
Pelan operasi komprehensif sudah pun disediakan, menampilkan program kerohanian, kebudayaan dan akademik, serta lawatan turun padang ke tapak-tapak Islam dan bersejarah utama di Makkah dan Madinah.
Program ini juga termasuk pertemuan dengan ulama terkemuka dan imam Dua Masjid Suci untuk memperkayakan perjalanan rohani dan intelek tetamu.
Sejak penubuhannya pada 1417H, program ini menjadi tuan rumah kepada hampir 65,000 jemaah haji dari 140 negara.
Menerusi program ini, ia memberikan mereka sokongan penuh logistik, keagamaan, penjagaan kesihatan dan kebudayaan dari penamaan calon hingga pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan haji.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan denda sehingga 100,000 riyal Saudi (AS$26,670) akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang memohon sebarang jenis visa lawatan bagi pihak individu yang menunaikan atau cuba menunaikan ibadah haji tanpa permit sah.
Ia juga meliputi mereka yang memasuki atau tinggal di Makkah dan kawasan Tanah Suci dari 1 Zulhijjah hingga 14 Zulkaedah 1446 Hijrah.
Jumlah denda akan digandakan mengikut bilangan individu yang diberikan visa lawatan dan melanggar peraturan itu.
