GENEVA – Dalam ucapan penuh emosi, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, merayu Israel menunjukkan belas kasihan dalam konflik di Gaza.
Dengan nada sebak dan menahan air mata, beliaumenegaskan bahawa keamanan adalah demi kepentingan Israel sendiri, yang kini dikecam semakin banyak negara kerana kekejaman yang berlaku di Gaza.
Berucap pada Perhimpunan Tahunan WHO, Dr Tedros berkata perang itu sedang ‘melukakan’ Israel dan tidak akan membawa penyelesaian berkekalan.
“Saya dapat rasakan apa yang dirasai rakyat Gaza ketika ini. Saya boleh menghidu, membayangkannya, malah mendengar bunyinya.
Anda boleh bayangkan betapa sengsaranya rakyat. Ia benar-benar salah apabila makanan dijadikan senjata. Sama juga apabila bekalan perubatan dimanipulasi dalam peperangan.
“Ini semua kerana PTSD (gangguan tekanan pasca trauma),” kata Dr Tedros, yang mempunyai pengalaman hidup ketika zaman perang di Ethiopia.
Dr Tedros menegaskan bahawa hanya penyelesaian politik mampu membawa keamanan yang bermakna.
“Saya merayu, jika anda boleh tunjuk belas kasihan. Ia baik untuk anda, baik untuk rakyat Palestin, dan baik untuk seluruh kemanusiaan.” katanya.
Sementara itu Pengarah Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan, pula berkata seramai 2.1 juta penduduk Gaza kini ‘berdepan ancaman maut yang amat nyata’.
Katanya, kebuluran perlu dihentikan, tebusan dibebaskan dan sistem kesihatan dipulihkan dengan segera.
Rakyat Gaza kini mengalami kekurangan bekalan makanan, air, perubatan, bahan api dan tempat perlindungan yang sangat kritikal.