NEW YORK – Hadi Matar, 27 lekaki dari New Jersey, yang menikam novelis terkenal Salman Rushdie di New York pada 2022, dijatuhi hukuman 25 tahun penjara selepas didapati bersalah atas cubaan membunuh dan serangan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman 25 tahun penjara kepada Matar atas cubaan membunuh, serta 7 tahun penjara atas serangan terhadap Reese, dengan kedua-dua hukuman dijalankan serentak.
Matar, menyerang Rushdie ketika beliau sedang berucap di Chautauqua Institution, menyebabkan kecederaan serius termasuk kehilangan penglihatan di sebelah mata, kerosakan hati, dan lumpuh pada satu tangan akibat kecederaan saraf.
Rushdie, yang terkenal dengan novel kontroversinya The Satanic Verses, ditikam lebih 10 kali oleh Matar menggunakan pisau sepanjang 15cm.
Dalam keterangannya di mahkamah, Rushdie berkata bahawa dia pada mulanya menyangka dipukul dengan tangan, tetapi kemudian menyedari bahawa dia sedang berlumuran darah akibat tikaman bertubi-tubi.
Seorang lagi individu, Henry Reese, yang berada di pentas bersama Rushdie, turut mengalami kecederaan akibat serangan itu.
Matar sebelum ini menyatakan bahawa dia percaya Rushdie telah “menghina Islam”, walaupun dia hanya membaca dua halaman daripada novel kontroversi itu.
Serangan ini berlaku 35 tahun selepas fatwa dikeluarkan oleh pemimpin Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini, yang menyeru pembunuhan Rushdie kerana kandungan novelnya.
Iran menafikan sebarang kaitan dengan serangan itu dan menyatakan bahawa Rushdie sendiri bertanggungjawab atas insiden tersebut.
Dalam kenyataan sebelum hukuman dijatuhkan, Matar menyifatkan Rushdie sebagai “hipokrit dan pembuli”, sambil menegaskan bahawa dia tidak bersetuju dengan pandangan penulis itu.
Peguam bela Matar, Nathaniel Barone, meminta hukuman lebih ringan iaitu 12 tahun penjara, tetapi mahkamah menolak permintaan tersebut.
Nnn