SHAH ALAM 15 Mei – : Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang akan mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti kali ini, menolak cadangan debat yang dicadangkan Menteri Ekonomi itu.
Beliau berbuat demikian kerana tidak mahu dibebani dengan isu seperti perdebatan.
Pada sidang media selepas program bersama akar umbi parti di sini malam tadi, Nurul Izzah berkata, kempen beliau kali ini memberi tumpuan kepada program berimpak tinggi dan pendekatan menyeluruh yang bermakna, khususnya kepada wanita dan pengundi muda, sambil meminimumkan ketegangan politik.
Terdahulu, di Temerloh, Rafizi pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Mentakab, Pahang, memaklumkan beliau sedia berdebat dengan Nurul Izzah bagi meredakan suhu panas dalam kalangan penyokong masing-masing ketika ini.
Izzah menegaskan keutamaannya kini adalah untuk memperkukuh hubungan dengan perwakilan dan meneruskan usaha mendekati akar umbi.
“Kita nak redakan keadaan kerana bagi kita, keutamaan adalah berjumpa dengan para perwakilan,” kata Nurul Izzah.
“Saya ada program ‘Wanita Mendunia’, dan ada juga program dengan anak muda. Saya tidak mahu kita terlalu tertumpu pada perkara ini. Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal melibatkan semua bahagian dalam proses memperkukuh parti,” tambah beliau.
Sementara itu, Rafizi, berkata, keputusan itu diambil bagi meredakan suhu yang panas dalam kalangan penyokong kedua-dua tokoh muda parti tersebut ketika ini.
“Saya dah berdebat dengan KJ (Khairy Jamaluddin), dah berdebat dengan Ahli Parlimen Bachok (Mohd Syahir Che Sulaiman) ‘ruh, ruh, ruh, neh, neh, neh’ jadi kalau yang ‘payah-payah’ pun saya dah lalui, insya-Allah saya tiada masalah untuk berdebat dengan Nurul Izzah,” katanya selepas program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Dewan Seri Mentakab, dekat sini, malam tadi.
Katanya, berdasarkan pemilihan parti sebelum ini, ia menjadi amalan kepada calon bertanding bagi jawatan berkenaan termasuk Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 2022.
Katanya, PKR adalah parti yang memperkenalkan budaya politik baru seperti itu.
Rafizi turut menekankan pentingnya debat yang dikendalikan oleh pihak berkecuali terutama media untuk memastikan perbincangan yang intelektual dan bukan berfokus kepada serangan peribadi.
Terdapat cadangan dari akar umbi untuk mengadakan debat dengan Nurul Izzah dan saya menerimanya,” katanya.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata beliau tidak mahu mencari penganjur untuk berdebat secara peribadi bagi mengelak sebarang persepsi berat sebelah.
“Sebaliknya, saya menyerahkan kepada pihak penganjur yang tentukan untuk mengaturkan debat tersebut. Saya bersedia untuk berdebat dan kalau boleh diadakan secara langsung supaya semua boleh membuat penilaian,” katanya.
Mengenai peranannya sebagai Menteri Ekonomi jika tidak terpilih, Rafizi yang menyatakan akan berundur sebelum ini, melahirkan keyakinan dasar ekonomi negara termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak akan terjejas.
“Perancangan dasar ekonomi negara termasuk RMK13, hampir siap dan akan dibentangkan di Kabinet untuk kelulusan minggu hadapan.
“Selain itu, RMK13 dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai dan sekiranya lulus, pelaksanaan dasar-dasar tersebut tidak akan terjejas walaupun berlaku pertukaran Menteri kerana dasar yang dirancang adalah untuk kerajaan dan bukan untuk kementerian tertentu sahaja,” katanya.
Rafizi
