BAITULMUQADDIS – Mekanisme baharu yang disokong Amerika Syarikat (AS) bagi menyalurkan bantuan ke Gaza dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Perkara itu diumumkan Duta AS ke Israel, Mike Huckabee, menjelang lawatan Presiden AS, Donald Trump ke Asia Barat.
Bagaimanapun butiran pelaksanaan mekanisme berkenaan masih belum jelas memandangkan tiada gencatan senjata diumumkan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penduduk Gaza kini berdepan dengan risiko kebuluran susulan sekatan bantuan selama berbulan-bulan yang dikenakan oleh Israel di kawasan berkenaan.
Israel mendakwa mereka akan memperluaskan kempen ketenteraannya terhadap pejuang Hamas selepas memungkiri gencatan senjata pada Mac lalu.
Dalam pada itu, Huckabee berkata beberapa rakan kongsi sudah menyatakan komitmen untuk menyertai pelan bantuan berkenaan yang akan dikendalikan oleh syarikat swasta.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama pihak terbabit dan berkata butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Tindak balas awal sangat memberangsangkan dan terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang akan memainkan peranan kepimpinan. Pertubuhan dan kerajaan lain juga perlu terbabit sama, tetapi tidak bagi Israel,” katanya.
Forum Tikva, kumpulan haluan kanan Israel yang mewakili sebahagian keluarga tebusan yang masih ditahan di Gaza, mengkritik pengumuman itu dan menyatakan bahawa penghantaran bantuan sepatutnya disyaratkan dengan pembebasan 58 tebusan oleh Hamas.
Pegawai kanan Hamas, Basem Naim mendakwa pelan berkenaan hampir menyerupai visi Israel untuk menggunakan bantuan sebagai ‘senjata perang’ tetapi menjangkakan ia akan gagal.
Basem juga turut memberi amaran kepada pihak tempatan supaya tidak menjadi alat dalam rancangan penjajahan Zionis.
(Foto FB WFP & UNRWA)