Hassan Karim sedia ‘dihukum’ PKR

PASIR GUDANG  23 Nov. – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim bersedia menerima sebarang tindakan termasuk risiko keahlian digantung yang akan diputuskan oleh Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan esok.

Hassan dipanggil dalam sesi pendengaran atau perbicaraan dengan lembaga disiplin parti kelmarin (Khamis) susulan kritikan lantang yang sering dilemparkannya terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.

Beliau menjelaskan tidak akan merayu, sebaliknya berpuas hati dengan sistem Lembaga Disiplin partinya yang bertindak profesional termasuk menghantar surat memohon kepadanya tunjuk sebab terlebih dahulu serta meminta memberi jawapan dalam masa tujuh hari.

“Saya menjawab surat itu dan dipanggil untuk dibicara, mereka dengar (penjelasan), dari segi itu saya pujilah parti (PKR) ini, dia buat apa yang dia cakap dalam soal ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau masalah berkaitan aduan penjaja di hadapan Sekolah Agama Taman Scientex di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hassan berkata beliau akan menghormati sebarang keputusan lembaga disiplin parti itu dan tidak mahu memberi kenyataan yang boleh mempengaruhi ketetapan itu nanti.

Malah, katanya beliau tidak boleh mendedahkan mengenai perjumpaan itu termasuk butiran dengan lembaga disiplin partinya.

“Saya kena hormat lembaga disiplin dan memberi ruang kepada mereka. Saya sebagai ahli parti kena patuh dan terbuka dengan keputusan diambil,” katanya.

Untuk rekod, di Dewan Rakyat Hassan sering mengkritik kerajaan dalam pelbagai isu termasuk berkaitan isu beras tempatan, pelantikan syarikat U Mobile sebagai pengendali rangakaian 5G kedua, dan MoU peruntukan pembangkang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment